My Add

Thursday 29 May 2014

Mufti perlu bersatu jelaskan mengenai Islam

KUALA LUMPUR, RABU 28 Mei, 2014: Para mufti di negara ini perlu bersatu dalam usaha memperbetulkan persepsi negatif orang ramai terhadap Islam.

Pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, kesepakatan dalam kalangan mufti seluruh negara adalah perlu bagi membentuk peribadi umat Islam negara ini serta membantu menyelesaikan hal-hal berkaitan agama.

"Tanggapan negatif mengenai Islam timbul kerana faktor perbezaan budaya yang ketara antara budaya mereka dan Islam maka mufti-mufti perlu memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat dan memberikan penerangan yang jelas mengenai Islam.

"Mengambil contoh, isu dua sampel coklat syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury) yang disahkan mengandungi DNA babi, tidak ada seorang mufti tampil mempertahankan pengguna Islam yang jelas telah tertipu dengan syarikat pengeluar coklat tersebut dan hal ini amat menyedihkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggesa umat Islam untuk memberikan gambaran jelas mengenai agama itu kepada penganut agama lain bagi menepis segala tohmahan negatif yang dilemparkan terhadap Islam.

Menurut Md. Daud, peranan mufti penting dalam menentukan sebarang fatwa adalah penting kerana mereka pusat rujukan berhubung permasalahan agama.

Katanya, golongan tersebut perlu mengelakkan sikap tunggu dan lihat dalam menyelesaikan masalah kerana sikap tersebut hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment