My Add

Friday 30 May 2014

Pantau anggota di sempadan

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, KHAMIS 29 Mei, 2014: Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota jabatan di bawah kementerian itu yang terlibat bersekongkol dengan sindiket penyeludupan diesel subsidi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memantau dengan rapat gerak-geri setiap jabatan terutama yang bertugas di sempadan.

Malah, beliau juga menyatakan kesediaan untuk mengkaji cadangan agar pegawai dan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) serta Kastam Diraja Malaysia (Kastam) ditempatkan tidak lebih tiga tahun di sesuatu kawasan.

"Adalah tidak adil untuk kita meletakkan 100 peratus kesalahan ke atas anggota dan jabatan yang berkawal di sempadan sebagai penyebab ketirisan diesel subsidi yang berlaku kini kerana pihak sindiket juga cukup licik.

"Tapi jika mereka yang diberi amanah tidak ikhlas, mengkhianati tanggungjawab dan bersekongkol dengan penyangak, kita tidak beri muka, tindakan paling tegas akan diambil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sejak seminggu lalu berterusan mendedahkan kegiatan penyeludupan diesel subsidi yang kini bagaikan barah sehingga sukar untuk dibanteras, kerana turut didalangi agensi penguat kuasa.

Perkara itu diakui sendiri SPRM sehingga Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed menggesa kerajaan mengkaji semula mekanisme pemberian diesel bersubsidi kerana banyak ketirisan berlaku dalam proses pembahagian.

Agensi penguat kuasa serta kementerian yang diberi amanah menjaga diesel subsidi ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kastam dan UPP,

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan semua kementerian berkaitan bagi menggempur sindiket penyeludupan diesel subsidi sama ada yang berlaku di darat mahupun di lautan.

"Tumpuan utama sudah tentu di kawasan-kawasan pintu masuk negara yang sememangnya lubuk bagi penyeludup diesel tetapi fokus terperinci juga akan diberi di lautan terutama dalam lingkungan 10 batu nautika dari pantai," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment