My Add

Saturday 31 May 2014

Kes sokong militan pindah ke Mahkamah Tinggi

 * MOHD. Hafiz Zahri Suparyatnoh (tengah) dan Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping, semalam.
TAIPING, JUMAAT 30 Mei, 2014: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan kes dua penganggur yang didakwa atas pertuduhan menyokong dan menggalakkan kegiatan keganasan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Majistret Eyu Ghim Siang memutuskan demikian setelah mengizinkan permohonan untuk memindahkan kes tersebut yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hafiz Zahri Suparyatnoh, 28, didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas yang dikenali sebagai The Islamic State Of Iraq and Syam (ISIS).

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kampung Air Jernih, Ijok, di sini di antara pukul 10 pagi, 4 April dan 12.30 tengah hari, 6 April lalu.

Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim, 22, pula didakwa pada masa, tarikh dan tempat yang sama menggalakkan perlakuan dan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.

Pertuduhan terhadap Mohd. Hafiz Zahri dibuat mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan manakala Mohd. Armie dituduh mengikut Seksyen 130G(a) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, masing-masing boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun dan denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan digunakan bagi kesalahan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment