My Add

Saturday 31 May 2014

REHDA sasar nilai jualan RM1.135 bilion

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI

 * ABDUL Fattah Mahmood (baju hitam) melihat model bangunan pangsapuri yang ditawarkan untuk jualan pada MAPEX 2014 di Kota Bharu, kelmarin. - UTUSAN/Nurul Akmar Aida
KOTA BHARU, JUMAAT 30 Mei, 2014: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Kelantan menyasarkan sebanyak RM1.135 bilion nilai jualan rumah pada Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2014 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di pusat beli belah KB Mall di sini.

Pengerusinya, Datuk Sekarnor Che Omar berkata, sasaran tersebut dijangka dapat dicapai sekaligus mengatasi jualan tahun lalu sebanyak RM850 juta.

"Melalui pameran ini, kita menawarkan 6,200 buah rumah dengan harga serendah RM150,000 hingga lebih RM300,000 sebuah.

"Hartanah-hartanah itu terdiri dari rumah teres setingkat, dua tingkat, pangsapuri serta lot-lot kedai.

"Mereka yang mahu membeli rumah pada ekspo ini berpeluang mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat daripada pemaju perumahan yang ada," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian program MAPEX di KB Mall dekat sini, semalam.

Majlis perasmian MAPEX itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Tambah Sekarno, MAPEX menyediakan landasan terbaik buat pembeli rumah dalam mencari informasi dan panduan tentang pemilikan hartanah tersebut.

"Sebanyak 24 gerai jualan dan pameran akan ditempatkan di ruang legar pusat beli-belah itu bagi membolehkan orang ramai membuat pilihan.

"Antara syarikat pemaju perumahan yang menyertai MAPEX adalah Sky Venture, Intan development, Strata Merge Realty dan Binaraya PKINK," katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri menyambut baik program itu yang memberi ruang kepada rakyat Kelantan mengetahui projek perumahan di Kelantan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment