My Add

Saturday 31 May 2014

Kerajaan tidak menipu - TPM

Oleh ROKIAH ABDULLAH

 * MUHYIDDIN Yassin dan Dr. Zambry Abdul Kadir (empat dari kiri) bersama jemaah masjid bertahlil untuk Almarhum Sultan Azlan di Masjid Daerah Teluk Intan, Perak, semalam. - UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN
TELUK INTAN, JUMAAT 30 Mei, 2014: Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak menipu apabila menawarkan jawatan menteri Kabinet kepada Datuk Mah Siew Keong sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tersebut dipilih sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, esok.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran oleh Perdana Menteri kepada Presiden Gerakan itu juga bukan satu gimik PRK sehingga perlu disalah tafsir dan diputarbelitkan, sebaliknya pengundi perlu menerima berita itu sebagai sesuatu yang baik.

Jelasnya, hal demikian kerana memang menjadi satu kebiasaan terdapat wakil dari Gerakan menjadi anggota Jemaah Menteri, namun akibat tiada seorang pun daripada mereka menang sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, ‘tempat’ itu kosong.

"Perdana Menteri (PM) kata semalam, kalau Mah (Siew Keong) menang beliau akan masuk Kabinet jadi menteri jaga ini kawasan. Pasti mereka (pembangkang) akan putar belit kata ini rasuah, ini tipu. Perkara ini tidak tipu.

"Saya yakin bila beliau dilantik jadi menteri, antara lain yang dapat faedah ialah penduduk kawasan Teluk Intan ini juga. Hubungan yang lebih dekat dengan PM dan lain-lain menteri beri peluang untuk Mah (Siew Keong) membantu menyelesaikan masalah kawasan parlimennya selain beri ruang wakil masyarakat Cina suara pandangan dalam Jemaah Menteri," katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sarapan pagi bersama lebih 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat India di kawasan Teluk Intan, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Siew Keong.

Sementara itu dalam majlis berasingan, Muhyiddin mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa cabaran yang dihadapi pada ketika ini dan masa depan adalah sangat besar serta hebat.

Katanya, cabaran yang dihadapi boleh mengundang perpecahan sehinggalah kepada tahap perang saudara sesama Islam sebagaimana yang berlaku di negara-negara luar.

"Alhamdulillah di Malaysia, kita umat Islam satu jemaah yang besar. Pemimpin luar sama ada Islam atau tidak, memberi pengiktirafan yang tinggi terhadap usaha dilaksanakan pemimpin negara untuk terus mengangkat syiar Islam,"katanya ketika berucap dalam majlis jamuan rakyat selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Daerah Teluk Intan di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menghadiri majlis tahlil sempena kemangkatan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di masjid berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment