My Add

Saturday 31 May 2014

Suspek rogol punyai kaitan keluarga

MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU, JUMAAT 30 Mei, 2014: Sebahagian suspek yang ditahan polis berhubung kes rogol dua pelajar oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini pada 20 Mei lalu mempunyai hubungan kekeluargaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng memberitahu, suspek tersebut termasuk tiga beranak yang ditahan di Ketereh semalam.

Beliau berkata, kesemua suspek juga kebanyakannya tinggal di kampung yang sama.

"Setakat ini seramai 14 suspek telah ditahan dan kebanyakan mereka terdiri daripada anak beranak, sepupu dan pertalian lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, polis berjaya menahan empat lagi suspek termasuk seorang bapa bersama dua anak lelakinya yang berumur 15 dan 17 tahun.

Bapa yang berusia 38 tahun bersama dua anaknya itu ditahan di sekitar Ketereh pada pagi semalam manakala seorang lagi berusia 20-an, turut diberkas di kawasan berdekatan.

Penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang diberkas bagi membantu siasatan kes tersebut kepada 14 orang dan kesemua suspek tersebut kini ditahan reman.

Yong Heng berkata, polis kini terus giat memburu suspek lain dan percaya mereka akan diberkas dalam tempoh terdekat.

"Kita akan memburu saki-baki suspek terlibat untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment