My Add

Friday 30 May 2014

Iskandar Malaysia tawar pelaburan

Oleh NURUL HUDA HASSAN

* TENGKU Putra Haron Aminurrashid Jumat (tengah), bersama Ismail Ibrahim (kanan) dan Andrew Sill pada sidang akhbar di Nusajaya, kelmarin. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
NUSAJAYA, KHAMIS 29 Mei, 2014: Biarpun Iskandar Malaysia, sebuah wilayah yang pesat membangun di ASEAN diwujudkan sejak 2006, namun wilayah itu masih mempunyai peluang pelaburan yang boleh direbut dalam pelbagai sektor, kata Dewan Perniagaan Britain-Malaysia (BMCC).

Timbalan Pengerusinya, Andrew Sill berkata, Iskandar Malaysia kini dikenali di peringkat antarabangsa, sekali gus percaya wilayah itu mampu menawarkan prospek pelaburan menarik kepada syarikat Britain yang berminat untuk melabur di situ.

Menurutnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Iskandar Malaysia menjadi tumpuan pelabur dari pelbagai negara termasuk Britain ekoran penawaran peluang pelaburan pelbagai sektor, antaranya pendidikan, kesihatan, pelancongan dan kreatif.

"BMCC berusaha untuk mewujudkan kesedaran tentang peluang pelaburan di Iskandar Malaysia kerana kita merasakan terdapat potensi pelaburan yang besar boleh dibawa ke wilayah itu dalam usaha merancakkan lagi hubungan perdagangan kedua-dua negara," katanya pada majlis makan malam anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah Pelaburan dan Perdagangan United Kingdom di Malaysia, Tony Collingridge.

Selain makan malam itu, BMCC dan IRDA menganjurkan satu lawatan kerja sehari ke Iskandar Malaysia yang disertai 35 wakil pelbagai syarikat dari United Kingdom, antaranya Atkins Global, Michael Page dan Zerin Properties.

Dalam pada itu, Ismail berkata, syarikat dari United Kingdom merupakan antara 10 negara yang membuat pelaburan tertinggi di Iskandar Malaysia, sekali gus kehadiran mereka di wilayah itu amat dirasai dan perlu diperhebatkan pada masa akan datang.

Justeru, dengan inisiatif yang diadakan itu, beliau yakin wilayah berkenaan mampu menarik lebih banyak syarikat dari negara tersebut untuk melabur di sini dan pada masa sama merancakkan lagi hubungan perdagangan di kawasan terlibat.

"Mereka (syarikat dari United Kingdom) sudah membuat banyak pelaburan terutama menerusi sektor pendidikan yang diadakan dengan kerjasama syarikat tempatan seperti mewujudkan beberapa cawangan universiti, antaranya Universiti Southampton, Kolej Marlborough dan Universiti Newcastle," katanya.

Namun, Ismail yakin menerusi kerjasama yang dijalankan dengan BMCC selain pertemuan yang digerakkan itu, syarikat dari negara terlibat akan melihat potensi sektor lain untuk diterokai seperti bidang kreatif melalui kewujudan Pinewood Iskandar Malaysia Studiosk diterokai. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment