My Add

Saturday 31 May 2014

Polis tumpaskan Geng Asroy

 * ABDUL Razak Abdul Majid (tiga dari kiri) bersama timbalannya, Suprintendan Mak Pak Chuai (dua dari kanan) melihat barangan yang dirampas daripada suspek kes pecah rumah dan pejabat kerajaan di Putrajaya selepas sidang akhbar di IPD Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA, JUMAAT 30 Mei, 2014: Polis berjaya melumpuhkan satu kumpulan pecah rumah dikenali sebagai Geng Asroy dengan tertangkapnya empat lelaki termasuk dua pelajar sekolah dalam serbuan di sekitar sini dan Perak pada 20 hingga 21 Mei lalu.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 15 hingga 21 tahun dipercayai menjadikan kuarters penjawat awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini sebagai sasaran untuk dipecah masuk sejak Mac tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, siasatan pihaknya percaya kesemua suspek termasuk dua pelajar yang masing-masing bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu terbabit dalam sembilan kes pecah rumah di sekitar sini.

"Serbuan dilakukan di kediaman suspek di Presint 15, 16 dan di Kampar, Perak selepas polis menerima laporan kejadian pecah rumah di kawasan sini membabitkan kerugian sebanyak RM55,000.

"Hasil pemeriksaan kami menemui semula beberapa barangan yang disamun antaranya dua komputer, satu Samsung Galaxy Tab, dua kad bank dan beberapa surat pajak gadai," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, rumah yang tidak berkunci dan kurang ciri keselamatan menjadi sasaran geng tersebut untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka.

"Mereka juga akan memecah masuk melalui ruang balkoni dapur yang jerijinya senang diumpil bagi memudahkan mereka membuka pintu depan tanpa sebarang masalah.

"Mungkin disebabkan hasil yang lumayan mereka bertindak berani sehingga sanggup memecah masuk rumah yang berada di tingkat 13," katanya.

Beliau menambah, semua suspek kini direman di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang bekas pengawal keselamatan ditahan dalam serbuan di Senawang kira-kira pukul 3 pagi, 19 Mei lalu kerana terbabit dengan 19 kes pecah pejabat di bangunan-bangunan kerajaan di Putrajaya sejak setahun lalu.

Katanya, penganggur berusia 28 tahun itu akan menyelinap masuk ke bangunan dengan bersembunyi terlebih dahulu di tangga kecemasan sebelum melakukan jenayah pada sebelah malam.

"Antara barangan yang dicuri ialah satu kamera Nikon; dua kamera Canon dan satu komputer bernilai RM15,000, manakala nilai kerugian bagi semua kes pula berjumlah RM64,000," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment