My Add

Saturday 31 May 2014

GST dijangka beri pulangan RM20 bilion

Oleh AZMAN IBRAHIM

PETALING JAYA, JUMAAT 30 Mei, 2014: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dijangka memberi pulangan kira-kira RM18 bilion hingga RM20 bilion kepada kerajaan sepanjang tahun 2015, peningkatan sebanyak enam peratus berbanding 2013.

Dekan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Dr. Yeah Kim Leng berkata, pada tahun 2013, kerajaan memperoleh kira-kira RM16 bilion hasil daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Katanya, inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) pada tahun depan pula dijangka sekitar 0.8 peratus sehingga 1.5 peratus.

"GST merupakan sistem pungutan cukai yang cekap dan sistem itu menggantikan SST yang sangat sempit jurusan kutipan cukainya. Penguatkuasaan cukainya juga dijangka memperbaiki pematuhan pembayaran cukai," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk GST dan Situasi Lain sempena Persidangan Pemasaran dan Penjenamaan 2014 di sini hari ini.

Persidangan itu yang merupakan anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Susila Devi.

Yang turut hadir pada persidangan ialah Presiden FMM, Yeah Onn Tean.

GST yang akan dilaksanakan di Malaysia pada Mei tahun depan merupakan cukai yang telah dilaksanakan di lebih 120 buah negara.

Tambah Kim Leng, pelaksanaan GST juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing dan tempatan.

Katanya, GST memberi gambaran ketelusan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan sistem pungutan cukai yang lebih sistematik.

"Pengenalan GST di Malaysia membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh untuk memastikan tidak ada pembayar cukai yang layak, melepaskan diri," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment