My Add

Friday 30 May 2014

Rakyat alu-alukan pelantikan Raja Dr. Nazrin Shah

 
IPOH, KHAMIS 29 Mei, 2014: Pelantikan Raja Dr. Nazrin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 hari ini disambut gembira dan penuh kesyukuran oleh seluruh rakyat berbilang kaum di negeri itu.

Rata-rata mereka menjunjung kasih atas pengisytiharan baginda yang bukan sahaja disifatkan sebagai pemerintah berjiwa rakyat malah cukup dikasihi dan disegani.

Melalui pengisytiharan itu, mereka juga berharap baginda dapat meneruskan legasi raja berdaulat dalam mempertahankan agama Islam dan orang Melayu.

Pengerusi Majlis Standard dan Akreditasi Malaysia (MSDAM), Tan Sri Mustafa Mansur yang merupakan anak jati Perak berkata, beliau melihat pelantikan tersebut sebagai kesinambungan Kesultanan Perak.

Katanya, sebagai rakyat beliau mempunyai harapan tinggi kepada baginda dalam meneruskan kedaulatan dan mampu menjiwai hati nurani rakyat bagi membolehkan baginda mentadbir negeri itu secara berkesan.

"Sebagai sultan, baginda memainkan peranan penting dalam menyambung warisan Kesultanan Perak sebaik mungkin, sekali gus dapat mendekatkan diri dengan rakyat jelata," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah MWE Golf & Country Club Berhad, Datuk Seri Noordin Omar berkata, pelantikan Raja Dr. Nazrin Shah diyakini dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada rakyat negeri itu malah seluruh negara.

"Setiap rakyat mahukan sultan yang dapat mempertahankan institusi raja-raja Melayu yang pada masa ini sentiasa diganggu-gugat pihak tertentu yang gemar mencabar kedaulatan dan Perlembagaan negara.

"Sebagai rakyat, kami menghargai usaha baginda memandangkan baginda sendiri pernah menjadi Pemangku Raja Perak sebelum ini dan mempunyai pengalaman luas serta arif dengan perkembangan semasa," katanya.

Ketua Kampung Labu Kubung, Lubuk Merbau, Mior Shamsuddin Abu Hassan berkata, Raja Dr. Nazrin Shah merupakan seorang yang berkebolehan dan mempunyai pendidikan yang tinggi.

"Baginda sering berdamping dengan rakyat dan saya mendoakan kesejahteraan baginda agar dapat mentadbir negeri ini dengan baik," katanya.

Sementara itu seorang pesara, Bahari Abdullah, 60, yang amat mengagumi perwatakan baginda yang sentiasa ceria dan mudah tersenyum yakin baginda dapat memerintah negeri ini pada landasan sewajarnya.

"Rakyat mengharapkan baginda dapat mengekalkan kesinambungan pemerintahan Almarhum Sultan Azlan Shah yang terkenal sebagai pakar perundangan, berpendidikan dan aktif dalam bidang sukan.

"Pelantikan baginda memang tepat sekali memandangkan baginda sudah membuktikan tanggungjawabnya sebagai Pemangku Raja Perak sebelum ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment