My Add

Saturday 31 May 2014

MH370: JACC perlu dedah maklumat terperinci

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) perlu memberi penjelasan secara terperinci berhubung pendedahan mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang dipercayai tidak berakhir di Lautan Hindi.

Hal itu penting bagi memastikan usaha mencari dan mengesan pesawat tersebut berjalan lancar memandangkan sehingga kini masih belum ada maklumat terbaharu mengenai status kehilangannya.

Penganalisis penerbangan, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, JACC perlu menyediakan segala data dan maklumat terperinci bagi menyokong kenyataan bahawa MH370 tidak berakhir di Lautan Hindi.

Hal ini kerana jelasnya, skala kawasan pencarian sebelum ini dikecilkan berdasarkan isyarat ‘ping’ yang diterima sedangkan lokasi sebenar adalah terlalu luas.

"Maklumat satelit Inmarsat telah diperincikan bagi mengesan lokasi terakhir MH370 dan bagaimana JACC begitu yakin bahawa pesawat tersebut tidak berakhir di Lautan Hindi?

"JACC tidak boleh mengeluarkan sebarang hipotesis hanya berdasarkan data yang diperoleh daripada Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh JACC semalam bahawa MH370 dipercayai tidak mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi berdasarkan maklumat daripada Bluefin-21 yang tidak menemui apa-apa berkaitan pesawat tersebut.

Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, kenyataan JACC tersebut secara tidak langsung mencetuskan pelbagai lagi persoalan baharu yang sukar dirungkai.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Kamarul Arifin Ahmad berkata, kenyataan JACC tersebut hanya melibatkan kawasan pencarian yang ditumpukan sebelum ini.

Jelas beliau, Lautan Hindi adalah luas dan masih ada kemungkinan untuk pesawat tersebut ditemui di bahagian lain lautan tersebut.

"Kawasan pencarian dikecilkan mengikut isyarat ‘ping’ yang dite-rima, tetapi hasil maklumat mendapati isyarat tersebut bukan daripada kotak hitam MH370.

"Namun, perkara itu tidak boleh menjadi kayu pengukur bahawa MH370 tidak mengakhiri penerbangannya di kawasan berkenaan, malah ada kemungkinan untuk pesawat tersebut ditemui di bahagian lain," ujarnya.

Kamarul Arifin juga berpendapat bahawa semua pihak khususnya JACC perlu menunjukkan data terperinci bagi menyokong pengumuman yang dibuat.

Beliau berkata, usaha pencarian bukan hanya melibatkan aspek teknikal, malah menyaksikan pengeluaran kos belanja yang sangat tinggi oleh negara-negara yang terlibat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment