My Add

Saturday 31 May 2014

Denda RM1 juta peniaga jual makanan disahkan haram

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengenakan denda maksimum sehingga RM1 juta kepada peniaga yang menjual makanan yang telah disahkan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya boleh mengenakan denda paling tinggi di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 jika barang makanan yang telah disahkan haram oleh Jakim masih dijual di pasaran.

"Jika sudah ada kesahihan yang dikeluarkan Jakim apabila mereka menarik balik logo halal barang makanan itu, tetapi peniaga masih menjual barang itu, maka kita dibenarkan untuk mengambil tindakan di bawah akta berkenaan.

"Bagaimanapun, perkara tersebut bergantung kepada keputusan ujian oleh Jabatan Kimia sama ada makanan itu mengandungi DNA babi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Perasmian dan Makan Malam Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Ke-30 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Yang turut hadir Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Sementara itu, mengulas mengenai produk Cadbury yang mengandungi DNA babi, Hasan berkata, sehingga hari ini, sebanyak 175 premis perniagaan yang diperiksa oleh agensi di bawah kementerian dan mendapati tidak ada premis perniagaan yang menjual produk makanan itu.

Dalam pada itu, Hasan memberitahu, kementerian juga menggalakkan lebih banyak koperasi untuk menceburi bidang makanan coklat bagi memberi saingan yang lebih luas kepada jenama lain di pasaran.

"Kita sudah memberi peluang kepada mereka untuk membuat pinjaman dan juga sudah ada peruntukan disediakan untuk membantu koperasi dalam bidang ini," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment