My Add

Friday 30 May 2014

MASEU hantar memorandum, minta campur tangan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, KHAMIS 29 Mei, 2014: Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) mengulangi pendirian memohon campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi peluang kepada kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang pakar serta berpengalaman untuk menerajui syarikat penerbangan tersebut.

Ini kerana MAS memiliki banyak tenaga mahir dan berpengalaman dalam industri penerbangan yang mampu menyelamatkan syarikat tersebut sebagai sebuah syarikat penerbangan terkemuka di Malaysia, malah dunia.

Perkara itu merupakan antara isi kandungan memorandum yang akan dikemukakan oleh MASEU kepada Najib sejurus Perdana Menteri pulang daripada lawatan kerja ke China pada minggu depan.

Menurut Setiausaha Eksekutifnya, Mohd. Jabbarullah Abd. Kadir, mereka turut menyatakan dalam memorandum itu agar MAS memiliki sebuah pelan perniagaan komprehensif yang akan membantu syarikat tersebut untuk terus berdaya saing dengan syarikat penerbangan lain di dunia.

"Tindakan kami mengemukakan memorandum itu selari dengan perkembangan pihak pengurusan tertinggi MAS yang dilihat tidak mempunyai integriti dan kredibiliti dalam menguruskan syarikat penerbangan di Malaysia.

"Kerana itu kita mahu Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Aerospace Engineering (MAE), Azhari Mohd. Dahlan dan Pengarah Sumber Manusia, Zahrah Zaid meletak jawatan ekoran gagal membawa keuntungan kepada syarikat penerbangan milik negara itu sejak tiga tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar memohon campur tangan Najib untuk menyelamatkan MAS dan menggesa pengurusan tertinggi syarikat penerbangan itu meletak jawatan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Jabbarullah, ketika MAS di bawah Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Tengku Azmil Zahruddin pada 2007 sehingga 2009, syarikat penerbangan tersebut mampu membawa keuntungan antara RM250 juta hingga RM348 juta setahun.

"Namun keadaan itu jauh berbeza apabila diterajui oleh barisan pengurusan tertinggi yang ada sekarang. Lebih 100 kakitangan teknikal serta 36 jurutera baharu meletak jawatan dalam tempoh dua tahun ini. Lebih parah apabila hampir setiap hari pihak pengurusan menerima surat peletakan jawatan dalam kalangan krew kabin," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment