My Add

Saturday 31 May 2014

Tiada wang tebusan dibayar

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

 
KOTA KINABALU, JUMAAT 30 Mei, 2014: Operasi menyelamat dua mangsa culik di Singamata Resort, Semporna dekat sini awal April lalu menemui kejayaan apabila kedua-duanya berjaya dibawa pulang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari kepulauan Jolo, Filipina pagi ini.

Menurut sumber, pelajar dari Shanghai, China dan seorang wanita Filipina yang menjadi mangsa culik di resort tersebut berjaya dibawa keluar oleh dua pegawai PDRM dari sebuah kem di kepulauan Jolo, selatan Filipina dan tiba di Sandakan pada pukul 4.30 petang ini.

Katanya, dua pegawai PDRM itu telah bertolak ke kem di Kepulauan Jolo pada pukul 10.30 pagi dan berjaya membawa pulang kedua-dua mangsa culik ke Sandakan dari kem yang dirahsiakan itu pada pukul 12.30 tengah hari.

"Kedua-dua mangsa akan dibawa dari Sandakan ke Kota Kinabalu pada pukul 9.25 malam, sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur pada pukul 6 pagi esok dengan diiringi oleh pihak keselamatan Bukit Aman," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan membawa balik mangsa culik itu merupakan hasil rundingan yang dilakukan oleh pihak keselamatan negara sebelum ini.

Jelasnya, kejayaan membawa pulang mangsa dengan selamat dan berkeadaan baik dan kerajaan Malaysia difahamkan tidak perlu membayar tebusan terhadap penculik tersebut.

"Kejayaan operasi menyelamat ini menjadi lebih bermakna apabila rundingan berjaya tanpa perlu membayar wang tebusan seperti yang diminta sebelum ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment