My Add

Saturday 31 May 2014

Syarikat Malaysia terajui autopsi digital

BRADFORD, United Kingdom, JUMAAT 30 Mei, 2014: Syarikat Malaysia, iGene Sdn. Bhd., (iGene) terus menerajui bidang perubatan autopsi digital global dengan pembukaan pusat autopsi digital keduanya di sini hari ini.

Pusat tersebut yang terletak di Public and Forensic Mortuary di Burnham Avenue telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bradford, Imran Hussain.

Yang turut Hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Venture Capital Management Berhad (Mavcap), Jamaludin Bujang; Ketua Pegawai Operasinya, Shaik Taufik Shaik Yusof; CEO iGene, Mathavan A. Chandran dan Ketua Pegawai Sains Perubatan iGene London Ltd., Dr. Alan Fletcher.

Pembukaan pusat autopsi digital tersebut merupakan sebahagian daripada 18 pusat yang dibangunkan oleh iGene di United Kingdom membabitkan pelaburan berjumlah 50 juta pound (RM296.16 juta).

Mavcap memiliki kepentingan sebanyak 15 peratus dalam iGene.

Di dalam ucapannya, Imran menyambut baik pembukaan pusat tersebut yang menurut beliau dapat membantu mempercepatkan proses siasatan seterusnya pengebumian jenazah.

"Saya berbangga kerana Bradford akan menjadi salah satu daerah yang terawal di negara ini yang memiliki kemudahan teknologi imbasan digital (autopsi). Kemudahan ini pastinya disambut baik oleh keluarga yang kehilangan orang tersayang (kerana ia mempercepatkan siasatan dan tuntutan ke atas jenazah)," katanya.

Imran sehubungan itu menyatakan komitmen pihaknya untuk membantu perkembangan teknologi tersebut di Bradford.

Di United Kingdom, pusat autopsi digital iGene pada masa ini berpusat di Pusat Medico Legal Sheffield.

Dianggarkan terdapat 550,000 kes kematian di England dan Wales setahun dengan kira-kira 200,000 daripadanya melibatkan aspek perundangan.

Sementara itu, Dr. Alan berkata, pihaknya berbangga dengan pembukaan tersebut yang akan membantu penyiasatan pihak koroner menjalankan kes-kes tanpa melakukan pembedahan secara konvensional.

"Autopsi digital merupakan langkah kehadapan untuk mengetahui punca kematian. Ia dapat mengelakkan pembedahan secara konvensional (yang tidak relevan) dilakukan ke atas mayat. Ini akan mempercepatkan proses tuntutan dan pengebumian," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment