My Add

Thursday 29 May 2014

Resolusi pertahan perkara asas Perlembagaan Persekutuan
KUALA LUMPUR, RABU 28 Mei, 2014:- Resolusi yang dibentangkan pada Kongres Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dilihat penting untuk mempertahankan perkara-perkara asas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu merangkumi konteks agama Islam, kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta institusi diraja.

"Empat perkara asas itu menjadi tunjang kepada kerukunan dan kestabilan di negara ini.

"Pembabitan pelbagai NGO Islam dalam kongres ini memperlihatkan kematangan kita yang bersatu dalam perkara-perkara yang disepakati walaupun berbeza ideologi politik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kongres NGO Islam yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Resolusi kongres tersebut antara lain menggesa kerajaan menggunakan kuasa yang didasari Perlembagaan Persekutuan sebagai penyangga kepada keutuhan agama serta menuntut umat Islam di negara ini bersatu tanpa mengira fahaman politik.

Kongres sehari itu dianjurkan Yadim dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Institut Wasatiyyah Malaysia dan UKM.

Antara NGO yang mengambil bahagian ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment