My Add

Friday 30 May 2014

Malaysia-China kekal sebagai sahabat dan rakan kongsi

BEIJING, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Malaysia dan China akan terus menjadi sahabat serta rakan kongsi keamanan dan kemakmuran.

Najib, yang berada di sini untuk lawatan enam hari sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China, berkata beliau amat yakin yang hubungan kedua-dua negara akan terus utuh sehinggalah 40 tahun akan datang.

"Dalam masa empat puluh tahun lagi, pada 2050-an, kami akan berada di pertengahan 'Abad Asia'.

"Sudah pasti China bakal menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia, dan Malaysia akan menjadi negara yang lebih matang dan maju,” kata beliau dalam artikel iklan yang disiarkan dalam akhbar People’s Daily pada Jumaat.

Najib turut menulis mengenai pandangan jauh bapanya yang juga Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak dalam mewujudkan hubungan diplomatik dengan China pada 1974 ketika Malaysia masih lagi sebuah negara baharu, yang memperoleh kemerdekaan kira-kira 20 tahun sebelum itu.

“Jalinan hubungan diplomatik ini adalah satu peristiwa bersejarah - malah, Malaysia adalah negara pertama Asia Tenggara yang mengiktiraf Republik Rakyat China,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata empat dekad kemudian, Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian yang moden dan kini menuju status negara maju.

China juga telah berubah dengan ketara dan kini ia adalah ekonomi kedua terbesar di dunia.

"Ia muncul semula sebagai Kuasa Besar dalam orde dunia yang baharu dan multipolar. Dengan negara-negara kita dan dunia telah berubah dengan ketaranya, satu perkara terus kekal: ikatan persahabatan yang kukuh di antara rakyat negara kita,” kata Najib.

Menurutnya persahabatan itu telah menghasilkan kejayaan ekonomi dengan China menjadi rakan dagang tertinggi Malaysia, yang mncatatkan perdagangan dua hala sebanyak AS$106 bilion tahun lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment