My Add

Saturday 31 May 2014

Kemuka bukti baharu Batu Putih

Oleh FAIZAH IZZANI

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Kerajaan Malaysia termasuk Kerajaan Negeri Johor harus mengemukakan bukti-bukti baharu yang kukuh sekiranya mahu membuat rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tentang Pulau Batu Putih yang sebelum ini memihak kepada Singapura.

Penasihat Sosio Budaya kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, bukti tersebut termasuk sama ada pihak pentadbiran Kerajaan Johor dalam tempoh antara 1850 sehingga 1953 pernah mentadbir, melawati, menduduki atau mengawasi kedaulatan pulau berkenaan.

Beliau yang merupakan Menteri Luar ketika kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura didengar di ICJ pada 2007 sehingga 2008 berkata, terserah kepada Wisma Putra dan Kerajaan Johor untuk mengemukakan bukti baharu, namun harus mengambil kira hujah dan fakta yang menyebabkan Singapura berhak memiliki pulau berkenaan ketika keputusan dibuat oleh panel hakim ICJ.

"Kes itu diputuskan atas beberapa fakta undang-undang antarabangsa, satunya pulau itu telah tidak dilawati oleh Johor atau mana-mana pihak kita lebih dari 90 tahun, sebelum British ambil alih. Keduanya, surat daripada pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada 1953 menyatakan bahawa Johor tidak membuat apa-apa tuntutan pada Pulau Batu Putih.

"Jadi, fakta-fakta ini harus difahami semua pihak dengan objektif dan bukan berdasarkan sentimen. Semasa saya menjadi menteri bertanggungjawab ketika itu, saya sendiri dapati fakta itu tidak menyenangkan. Jadi dalam soal ini, tindakan Kerajaan Johor ketika itu harus diambil kira. Maka perlu ada bukti lain yang perlu diketengahkan jika mahu membuat rayuan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam yang mahu kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas untuk memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan ICJ yang memihak kepada Singapura sebelum ini.

November tahun lalu, Kerajaan Persekutuan memaklumkan tiada rayuan semula dibuat selepas kalah dalam kes tuntutan Pulau Batu Putih kepada Singapura kerana ketiadaan bukti kukuh dan fakta lengkap namun tetap meneruskan usaha mencari bukti dan maklumat baharu untuk persediaan masa hadapan.

Pertikaian antara Singapura dan Malaysia mengenai Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila republik itu membantah tindakan Malaysia menerbitkan sebuah peta pada 1979, yang dengan jelas menunjukkan pulau itu terletak dalam wilayahnya.

Pada Februari 1993, Singapura meluaskan tuntutannya ke atas Middle Rocks dan South Ledge, yang terletak berhampiran pulau itu sementara pada 6 Februari 2003, kedua-dua negara menandatangani satu perjanjian khas bagi merujuk perkara itu kepada ICJ.

Rais berkata, lunas-lunas untuk Malaysia membuat rayuan menjelang 2018 mempunyai had-had tertentu kerana jika tiada pembuktian baharu, usaha membuat rayuan tersebut akan menjadi sia-sia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment