My Add

Saturday 31 May 2014

Kanak-kanak dibunuh kejam dipercayai akibat dendam

Oleh AZRAI MOHAMMAD
 
 * RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dibawa oleh seorang lelaki sebelum ditemui mati di tepi Sungai Klang berdekatan Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Hanya kerana dendam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan, Siti Soffea Emelda menjadi mangsa kekejaman seorang lelaki tidak berhati perut yang tergamak menghentak kepala mangsa dengan serpihan seramik serta mengelar leher mangsa hingga putus.

Suspek turut dilihat cuba membaringkan mangsa dipercayai cuba untuk mencekiknya di tempat kejadian yang terletak berdekatan tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan di sini, kira-kira pukul 9 malam tadi.

Beberapa saksi yang ternampak perbuatan suspek dari jauh berkejar ke tebing sungai itu sambil menjerit memintanya menghentikan perbuatan itu tetapi suspek tidak peduli dan tangannya terus menghentak dan mengelar leher kanak-kanak malang itu.

Sebaik sahaja saksi-saksi ber-kenaan menghampirinya, suspek terus terjun ke dalam sungai dan menghilang di dalam arus deras. Yang ada hanya mayat mangsa yang bahagian kepalanya telah terpisah daripada badan.

Mayatnya ditemui dalam keada-an tertiarap dengan kepalanya yang putus berada berdekatan kakinya. Mangsa hanya memakai seluar panjang putih dan lampin pakai buang. Terdapat kesan potong di leher dan bahagian kepalanya pecah.

Turut ditemui ialah sandal hitam dipercayai milik suspek, sandal kanak-kanak berwarna hitam hijau, baju kanak-kanak tanpa lengan berwarna putih, tali pengikat rambut dan serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Menurut sumber, kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehidupan ibu mangsa seorang warga tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai penagih dadah sejak beberapa tahun lalu serta mempunyai sikap negatif hingga menimbulkan kemarahan suspek.

"Mungkin orang tak puas hati dengan ibu mangsa dan balas dendam pada anaknya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan polis mendapati suspek telah mengekori pergerakan mangsa di sebuah kompleks beli-belah sebelum melarikan kanak-kanak berkenaan ketika ibunya yang berusia 32 tahun memasuki tandas di premis itu kira-kira pukul 3 petang.

Kong Meng berkata, mangsa ketika itu ditinggalkan bersama rakan ibunya di luar tandas tersebut.

"Beberapa jam selepas itu, saksi kejadian ternampak seorang lelaki dipercayai berketurunan India sedang mendukung seorang kanak-kanak menyusuri Sungai Klang. Orang awam turut melihat lelaki itu merebahkan kanak-kanak berkenaan sebelum menghempaskan sesuatu ke kepala dan melakukan sesuatu di leher kanak-kanak tersebut.

"Orang awam kemudiannya bergegas menyelamatkan kanak-kanak itu sebaliknya lelaki tersebut terus memukul kepala kanak-kanak berkenaan. Sewaktu saksi menghampiri tempat kejadian, suspek melarikan diri dan terjun ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kong Meng, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, usaha mengesan suspek yang dipercayai lemas di Sungai Kelang masih diteruskan oleh polis dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment