My Add

Saturday 31 May 2014

Statistik cerai membimbangkan

SOFIAN BAHAROM/MAISARAH SHEIKH RAHIM

BANGI, JUMAAT 30 Mei, 2014: Statistik penceraian yang membimbangkan ketika ini menuntut pasangan-pasangan suami isteri di negara ini untuk kembali kepada tiga elemen asas perkahwinan iaitu sakinah (ketenteraman), mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang).

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketiga-tiga elemen itu perlu digabungkan bagi mewujudkan satu jaringan institusi kekeluargaan yang kukuh dan holistik.

"Institusi kekeluargaan kian rapuh terutama melibatkan pasangan generasi muda ketika ini. Apa yang membimbangkan, statistik menunjukkan bilangan penceraian yang berlaku dalam tempoh sedekad lalu mencecah lebih 200,000 kes.

"Lebih mengejutkan, hampir 80 peratus daripada kes-kes penceraian itu melibatkan perkahwinan tidak lebih 10 tahun. Jadi, resipi terbaik untuk memperkasakan institusi keluarga perlu bermula dengan perkara asas iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah," katanya ketika berucap dalam Program Bicara Sakinah anjuran Yadim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf menjelaskan, sakinah bermakna usaha suami isteri untuk memastikan hati pasangannya sentiasa tenteram ketika berada bersama satu sama lain sekali gus mengukuhkan kebahagiaan rumah tangga mereka.

Sementara itu, penceramah terkenal, Badli Shah Alauddin berkata, dalam usaha memastikan institusi kekeluargaan bertambah kukuh, pasangan suami isteri perlu mengubah pendekatan mereka dengan sentiasa mengaplikasikan sikap bertolak ansur antara satu sama lain.

Sebagai seorang bekas kadi, kata Badli, beliau telah melihat pelbagai permasalahan yang timbul melibatkan pasangan yang enggan bertolak ansur dan akhirnya mereka memutuskan untuk bercerai.

"Faktor latar belakang sebenarnya yang boleh mewujudkan kekeliruan dalam kalangan pasangan. Ada isteri yang lihat suami manja dengan ibu dan terus melabel suaminya itu tidak berdikari.

"Setelah diperiksa, rupanya isteri tersebut dibesarkan dalam institusi kekeluargaan yang tidak rapat dan tidak biasa melihat suasana rapat antara ibu dan anak. Kekeliruan sebegini boleh memberi kesan kepada rumah tangga," katanya.

Seorang lagi ahli panel iaitu Pegawai Psikologi dan Unit Intervensi dan Sokongan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Salmi Jalina Jalil berkata, dalam sesuatu konflik rumah tangga, keutamaan perlu diberikan kepada usaha-usaha menerima perbezaan antara satu sama lain.

Katanya, perlu menjadi satu keharusan bagi suami isteri untuk mempertingkatkan kelancaran komunikasi antara mereka terutama dalam menghuraikan sebarang kekeliruan serta salah faham.

"Paling penting adalah suami isteri menjaga tingkah laku terutama dalam mengeluarkan perkataan terhadap pasangan. Perbanyakkan usaha berbincang ketika berasa keliru," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment