My Add

Saturday 31 May 2014

Poroshenko mahu hukum kumpulan pro-Rusia

 * SEBUAH jentolak membersihkan tayar-tayar yang membentuk sekatan di pekarangan bangunan pentadbiran di bandar Donetsk, timur Ukraine, kelmarin. - REUTERS
KIEV, JUMAAT 30 Mei, 2014: Presiden Ukraine yang baharu, Petro Poroshenko hari ini berikrar untuk menghukum kumpulan pemisah pro-Rusia yang menembak jatuh sebuah helikopter tentera di timur negara ini, semalam yang mengakibatkan 12 askar maut dalam satu daripada serangan berdarah pemberontak.
Helikopter jenis Mi-8 itu ditembak jatuh dengan menggunakan sebuah peluru berpandu ke permukaan di Slavyansk, sekali gus membangkitkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa kumpulan pemisah tersebut menerima bekalan senjata ‘dari luar Ukraine’.

"Kami perlu melakukan apa sahaja cara yang boleh bagi memastikan tiada lagi rakyat Ukraine mati di tangan pengganas dan penjahat. Jenayah-jenayah yang dilakukan oleh musuh tidak akan dibiarkan dan bakal mendapat pembalasan sewajarnya," katanya sebagaimana lapor agensi berita Ukraine.

Menteri Pertahanan, Mykhailo Koval dalam pada itu dijangka memberikan butiran terperinci mengenai serangan berhampiran bandar perindustrian Slavyansk dalam satu sidang media, hari ini.

Dalam nahas itu, antara yang terbunuh adalah Jeneral Volodymyr Kulchytskiy, enam anggota tentera Pengawal Nasional terdiri daripada sukarelawan, yang merupakan kematian kedua tertinggi sejak Ukraine kehilangan 18 anggota tentera dalam satu pertempuran di Donetsk, minggu lalu.

Seorang daripada pemimpin pemisah membuat pengakuan mengejutkan semalam dengan mendakwa 33 daripada 40 anggota kumpulan pemisah yang maut dalam serangan di Lapangan Terbang Donetsk merupakan warga Rusia dari wilayah yang dihuni penduduk Islam seperti Chechnya.

Pendedahan itu sekali gus mencabar dakwaan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menafikan campur tangan Kremlin dalam tindakan kumpulan pemisah dan menyokong dakwaan Kiev bahawa pemisah tidak mewakili kehendak sebenar pekerja lombong dan keluli yang menjadi nadi kepada ekonomi Ukraine.

Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, terdapat ‘bukti yang menunjukkan campur tangan Rusia' dalam pertempuran dan melatih individu daripada Chechnya di Rusia yang menjadi punca kepada konflik di Ukraine.

Katanya, walaupun tentera Rusia di sempadan Ukraine telah kembali ke Moscow, tetapi masih terdapat ‘tanda-tanda bahaya’ di situ.

Sementara itu, kerajaan Ukraine semalam dilihat mengalih tumpuan mereka untuk memulihkan keadaan di Slavyansk, sebuah bandar perindustrian yang dihuni 120,000 penduduk yang kebanyakannya merupakan etnik Rusia. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment