My Add

Saturday 31 May 2014

Malaysia dan China setuju tingkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang

BEIJING, SABTU 31 Mei, 2014: Malaysia dan China hari ini memeterai Pernyataan Bersama yang antara lain menyentuh mengenai peningkatan kerjasama dalam perdagangan dan hubungan rakyat dengan rakyat di samping menggesa bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Li Keqiang memeterai pernyataan itu dengan disaksikan lebih 300 tetamu semasa upacara sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara di Dewan Besar Rakyat di sini.

Najib dan Li, yang mengambil kira kemajuan yang dicapai lebih 40 tahun lalu dalam hubungan, bersetuju untuk merangka rancangan bagi pembangunan masa depan serta mengulangi pematuhan prinsip menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah satu sama lain.

Malaysia juga menghargai sumbangan China dalam usaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sementara Beijing menyambut baik jaminan Malaysia untuk meneruskan operasi mencari sehingga MH370 ditemui.

Satu lagi perkara penting dalam pernyataan bersama ialah kedua-dua bank pusat akan bekerjasama untuk mempercepatkan penggunaan mata wang tempatan untuk urusan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara dan menggalakkan usaha membangunkan infrastruktur sokongan yang perlu. - Bernama

No comments:

Post a Comment