My Add

Friday 30 May 2014

Hargai peluang meraikan nikmat dan keistimewaan sebagai rakyat Malaysia - Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat Malaysia pelbagai kaum harus menghargai peluang meraikan nikmat dan keistimewaan kebudayaan dan tradisi masing-masing.

Dalam perutusannya kepada kaum Kadazandusun dan Dayak yang meraikan Kaamatan dan Gawai, beliau mengakui bahawa Malaysia ialah pusat kepada kepelbagaian budaya dan diberkati dengan sumber yang boleh dinikmati dan disyukuri.

``Kita seharusnya menghargai realiti ini, bahawa setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan fahaman politik, boleh hidup bersama dan berkongsi meraikan nikmat dan keistimewaan sebagai rakyat Malaysia,'' kata Najib dalam catatan blog beliau.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata sambutan tahunan menyambut tahun penuaian baharu dimulakan dengan majlis kesyukuran untuk memanjangkan rasa kesyukuran dan penghargaan terhadap musim penuaian baharu dan ia turut menandakan tibanya masa untuk menyusun perancangan bagi musim tuaian yang bakal tiba, serta untuk menanam usaha yang lebih, dalam segala aspek demi masa hadapan yang lebih sejahtera.

Beliau berkata walaupun rakyat Malaysia memakan nasi setiap hari mereka kadang kala lupa kepada kepentingan beras.

``Penanam padi memerlukan jumlah air yang mencukupi untuk menanam padi. Malaysia pula ialah sebuah negara yang diberkati dengan jumlah air mencukupi untuk penanaman padi,'' kata perdana menteri.

``Rakan-rakan di Sab ikan Hari Kaamatan untuk mengingatkan diri mereka tentang keberkatan yang diterima daripada hasil tuaian yang lumayan,'' katanya, manakala sambutan Hari Gawai pula ialah simbol perpaduan, perjuangan serta harapan bagi masyarakat Dayak.

Sesuai dengan prinsip utuh perpaduan rakyat Malaysia, katanya, pada hari berkenaan, rakan-rakan Dayak akan bersama-sama melakukan gotong-royong seperti membersih, memperbaiki atau mengecat rumah panjang atau rumah mereka bagi membuat persiapan menyambut perayaan.

``Dengan semangat perpaduan yang dipupuk dalam konsep 1Malaysia, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada seluruh rakyat Sarawak dan `gayu guru gerai nyamai!'.

``Kepada seluruh rakyat Sabah pula, saya ucapkan `Kotobian tadau tagazo do Kaamatan!'' katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment