My Add

Friday 30 May 2014

Perak akan terus gemilang - Zahid

KUALA LUMPUR, KHAMIS 29 Mei, 2014: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin pengisytiharan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 akan terus memartabatkan negeri itu ke persada kegemilangan dalam segenap aspek.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh dan anak jati Perak berkata, sebagai sultan berpendidikan tinggi, kaya dengan pengalaman serta mesra rakyat, baginda menjadi payung menaungi rakyat Perak sebagaimana Almarhum ayahandanya.

"Seluruh rakyat Perak menjunjung tinggi pemasyhuran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-35. Pastinya baginda akan terus memartabatkan negeri ini ke persada kegemilangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 58, diisytiharkan sebagai Sultan Perak baharu dalam upacara pengisytiharan pelantikan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, bagi menggantikan Almarhum ayahandanya, Sultan Azlan Shah yang mangkat semalam.

Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Orang Kaya-kaya Seri Maharaja, Tan Sri Jenaral (B) Mohd. Zahidi Zainuddin.

Mengenai kemangkatan Sultan Azlan, Ahmad Zahid berkata, sumbangan baginda kepada negara cukup besar terutamanya dalam bidang perundangan, pentadbiran, akademik dan sukan, selain amat prihatin dengan permasalahan rakyat.

"Kemangkatan baginda merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada rakyat Perak tetapi Malaysia secara keseluruhannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment