My Add

Thursday 1 December 2011

Lebih 60% jalan rosak di KL berpunca kerja korek syarikat utiliti

 AHMAD Fuad Ismail kelihatan serius mempersoalkan artikel laporan khas yang ditulis oleh wartawan Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Disembr, 2011:
LEBIH 60 peratus kerosakan jalan yang banyak berlaku di bandar raya Kuala Lumpur dikenal pasti berpunca daripada kerja-kerja pengorekan oleh syarikat utiliti bagi tujuan pemasangan kabel bawah tanah.

Mendedahkan perkara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, kerja-kerja pengorekan tanpa penurapan yang baik boleh mengakibatkan jalan menjadi mendap, beralun dan berlubang.

Bagi mengelak keadaan itu terus berlaku, jelasnya, syarikat-syarikat utiliti berkenaan seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Telekom dan syarikat telekomunikasi lain disaran menggunakan teknologi Horizontal Directional Drilling (HDD) bagi tujuan pemasangan kabel tanpa mengorek jalan.

''Bagaimanapun penggunaan teknologi ini memakan kos tinggi sehingga tiga kali ganda daripada biasa.

''Hanya Syarikat Gas Malaysia Berhad yang mengaplikasikan teknologi ini bagi mengurangkan kerosakan jalan akibat kerja-kerja pengorekan yang dijalankan,'' katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Laporan Khas akhbar ini dua hari lalu mendedahkan masalah jalan rosak, berlubang dan tidak berkualiti di sekitar ibu kota terus berlaku tanpa ada kesudahan.

Kerja penurapan jalan juga tidak ubah seperti kain perca apabila jalan ditampal tidak sempurna dan kelihatan daif.

Ahmad Fuad bagaimanapun kecewa dengan laporan terbabit apabila menafikan gambar-gambar jalan rosak yang disiarkan adalah bukan di Kuala Lumpur.

''Saya akui bahawa jalan-jalan di Kuala Lumpur banyak rosak dan perlu dibaiki. Tetapi saya tengok (melalui gambar yang disiarkan) ada di antara jalan dan tempat letak kereta bukan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

''Kalau tulis berita tidak betul adalah fitnah,'' tegasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata, kebanyakan kerja-kerja pengorekan dibuat tanpa pengetahuan dan pemberitahuan kerana ia dijalankan pada waktu malam.

Katanya, biarpun segala syarat dan garis panduan ditetapkan kepada pihak mereka, namun ia sekadar 'di atas kertas'.

Ini kerana, katanya, di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, kesalahan mengorek jalan tanpa kelulusan atau tidak menurap kembali jalan dengan baik hanya akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

''Kita tidak boleh halang mereka untuk mengorek jalan bagi pemasangan kabel kerana kita tidak mahu dipersalahkan pula oleh orang ramai akibat tidak dapat bekalan air atau elektrik kerana DBKL tidak benarkan mengorek jalan.

''Sebab itu kita berharap sangat mereka dapat menggunakan teknologi HDD biarpun membuat bayaran deposit untuk kerja penurapan,'' katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad menjelaskan, antara punca lain yang turut menyumbang kepada kerosakan jalan adalah disebabkan tumpahan minyak diesel dan konkrit selain aktiviti pembangunan di sekitarnya.

''Sepanjang tahun ini sebanyak 37 jalan utama telah siap dibaik pulih dan diturap semula, 10 jalan utama dalam pelaksanaan dan dua jalan utama dalam proses pelantikan kontraktor,'' katanya.

No comments:

Post a Comment