My Add

Monday 12 December 2011

155,343 peminjam tak bayar balik PTPTN setakat Oktober lalu

KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Disember, 2011:
SEHINGGA 31 Oktober lalu, masih ada 155,343 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) belum membuat bayaran balik pinjaman mereka yang berjumlah RM929.53 juta.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung, berkata sehingga tempoh itu juga seramai 730,221 sudah membuat bayaran balik pinjaman membabitkan jumlah RM2.8 bilion.

"Bermula 1 Disember 2006 hingga 31 Oktober lalu pula, sebanyak 267,822 Notis Peringatan Terakhir (NPT) dan 189,813 Notis Tuntutan atau Letter of Demand (LOD) telah dikeluarkan.

"Daripada jumlah NPT yang dikeluarkan, seramai 75,530 peminjam telah mula membayar balik pinjaman, begitu juga dengan 81,151 peminjam yang dikenakan tindakan LOD," katanya menjawab soalan Senator Ahmad Hussin, di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh itu juga sebanyak 104,083 saman sudah dihantar kepada peminjam ingkar, membabitkan jumlah RM1.12 bilion.

"Sebanyak 69,667 saman telah mendapat perintah penghakiman bersih mahkamah," katanya.

Hou berkata, PTPTN juga meluluskan pengecualian bayaran balik kepada 10,849 peminjam yang mendapat ijazah kelas pertama membabitkan jumlah RM312.24 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment