My Add

Tuesday 20 December 2011

523 penanda sempadan tidak terjejas

KUCHING, SELASA, 20 Disember, 2011: Kesemua 523 penanda sempadan di bahagian ini yang memisahkan Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia disahkan sepadan dengan koordinat yang dipersetujui dan ditetapkan bersama oleh kedua-dua negara.

Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Hasagaya Abdullah berkata, rondaan bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) sejak 12 Disember lalu mendapati tidak ada satu pun penanda sempadan tersebut hilang, diusik atau beralih tempat.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa penanda yang tertimbus ke dalam tanah atas faktor alam semula jadi, malah ada penanda yang diperbuat daripada kayu sudah mula rosak.

"Jadi mana-mana penanda yang tenggelam, kita naikkan semula manakala mana-mana yang rosak kita perbaiki dan operasi ini melibatkan kehadiran wakil daripada kedua-dua belah pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Patrol Terkoordinasi (Patkor) TDM dan TNI-AD di Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Serikin dekat sini semalam.

Turut hadir, Komandan Komando Resor Militer (Korem) 121/ABW, TNI-AD, Kolonel Toto Rinanto dan Pegawai Memerintah Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (KAD), Leftenan Kolonel Zahari Mohd. Ariffin.

Operasi Patkor melibatkan rondaan bersama bermula di Pos Kendaie, Kalimantan Barat dan berakhir di Pos Serikin pada jarak kira-kira 25 kilometer disertai dua platun masing-masing daripada TDM dan TNI-AD dengan kekuatan terkumpul 70 orang.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasagaya berkata, operasi tersebut juga berjaya menemui tiga 'jalan tikus' baru yang dipercayai menjadi laluan haram utama warga asing untuk menyelinap masuk secara haram ke negara ini.

"Kesemua jalan tikus itu dikesan di kawasan ladang kelapa sawit yang bersempadan dengan negara jiran dan kita kini sedang mengumpulkan maklumat daripada pihak TNI-AD sebelum mengambil langkah seterusnya," katanya.

Selain itu, Hasagaya turut mendedahkan kejayaan pihak TDM mematahkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu seberat kira-kira 4 kilogram ke negeri ini melalui Serikin pada Oktober lalu.

"Kes tersebut melibatkan rakyat tempatan serta warga Indonesia dan kini masih disiasat pihak polis," katanya yang enggan mengulas lanjut. - UM

No comments:

Post a Comment