My Add

Wednesday 14 December 2011

6 terkorban dalam kemalangan di Perak

IPOH, RABU, 14 Disember, 2011: 
IBU dan anak antara enam mangsa yang terkorban dalam kemalangan berasingan di negeri ini, semalam. 

Dalam nahas di kilometer 91 Jalan Ipoh-Butterworth dekat Bagan Serai, seorang ibu bersama anaknya terkorban apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh tembok konkrit di tepi jalan.

Ketua Polis Trafik Negeri, Superintinden Wan Abdullah Ishak, berkata mangsa yang terkorban dalam kemalangan pada jam 5.30 petang semalam Nor Idawati Md Isa, 26 dan anak perempuanya Nur Efa Eliana Mohamad Faizal berusia setahun.

Mereka berasal dari Pendang, Kedah.

Kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah di kepala, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping sejam selepas nahas, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Abdullah berkata, pemandu kereta yang juga suami mangsa, Mohamad Faizal Abdullah, 28, bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia Pengkalan Lumut hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan. 

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Faizal dikatakan hilang kawalan selepas salah satu tayarnya pecah menyebabkan kenderaan itu terbabas lalu merempuh tembok konkrit di tepi jalan. Ketika itu mereka dalam perjalanan dari Semanggol ke Taiping. 

Sementara itu, dalam nahas di kilometer 367.8 Lebuh raya Utara-Selatan dekat Slim River seorang pemandu lori terbunuh selepas kenderaannya terbabas dan terbalik di tengah jalan. 

Mangsa V Vinayagumurti, 45, berasal dari Taman Rishah di sini yang mengalami cedera parah meninggal dunia di kawasan kemalangan dan mayatnya dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. 

Kemalangan berlaku pada jam 5.50 petang apabila lori yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari selatan ke utara dikatakan terbabas ke tengah jalan dan terbalik dan pada masa yang sama sebuah kereta dan bas ekspres yang mengekori lori berkenaan merempuhnya. Bagaimanapun pemandu kereta dan bas bersama penumpang terselamat. 

Dalam nahas lain di Langkap, Teluk Intan seorang remaja wanita berusia 18 tahun terkorban selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah kereta lain di kilometer enam Jalan Changkat Jong-Teluk Intan. 

Ketika kemalangan jam 9.45 malam tadi, mangsa Chan Kean Yee berasal dari Langkap yang mengalami cedera parah meninggal dunia di kawasan kemalangan dan mayatnya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. 

Dua lagi mangsa masing-masing pejalan kaki terkorban selepas dirempuh kenderaan ketika sedang melintas jalan. 

Kemalangan jam 1.00 tengah hari, mangsa Kamari Toha, 57, berasal dari Lekir dirempuh kereta ketika melintas jalan di Batu 5 Jalan Lekir-Sitiawan, manakala seorang lagi wanita pejalan kaki Hasinah Samsuddin, 70, terkorban selepas dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Jelapang-Chemur dekat sini pada 12.55 tengah hari semalam.  

No comments:

Post a Comment