My Add

Tuesday 6 December 2011

Aziz Bari tidak kebal, boleh ditegur

 Dr Aziz Bari 
SEBAGAIMANA Prof Dr Aziz Bari boleh menegur semua orang, maka dia juga boleh ditegur. Itulah manusia, tiada yang sempurna.

Khalifah Umar al-Khatab, sebagai Amirul Mukminin juga pernah ditegur apabila beliau cuba menghadkan mahar bagi pengantin perempuan. 

Seorang perempuan telah menegurnya, sejak bila khalifah mengambil alih hak yang menjadi hak kepada bakal pengantin perempuan.

Khalifah lalu mengaku teguran perempuan itu adalah betul.

Subky Abdul Latif menulis, maka Dr. Aziz dikatakan telah membuat komen konon akaun Lembaga Zakat Selangor dan Muis tidak diaudit.

Adakah benar ia tidak diaudit?

Sebagaimana orang ingin tahu segala yang ditegur oleh Ketua Audit Negera, maka orang pun ingin tahu apa yang Dr. Aziz tegur.

Kalau teguran Ketua Audit Negara pun dijawab oleh setengah pihak yang kena tegur, maka pihak yang ditegur oleh pakar perlembagaan itu juga boleh dijawab kiranya dia tidak betul.

Prof. Aziz membuat teguran yang mudah, iaitu akaun Muis dan LZS tidak diaudit.

Jika teguran itu tidak betul, maka LZS dan Muis berhak untuk menjelaskannya. LZS dan Muis boleh membuat kenyataan media atau memanggil sidang media, memberikan bukti bahawa ia diaudit.

Tunjukkan apa yang telah diaudit dan apa komen juru audit.

Begitulah amalan di seluruh dunia, apabila ada pegawai atau mana-mana individu atau badan-badan berkanun, maka pihak yang ditegur itu akan membuat penjelasan.

Dalam pentadbiran moden, diadakan pegawai khas untuk menjelaskan setiap apa yang dibangkitkan. Apa jua disungut dan ditegur, maka pegawai itu akan menyiasat betulkah teguran itu atau tidak. Dia akan mendapatkan butir dan keterangan tentang yang ditanya itu.

Kalau PKNS ditegur, maka mana-mana perkara yang boleh dijelaskan oleh PKNS, ialah yang menjawabnya. Kalau yang dibangkit itu tentang gaji CEO terlalu besar, berpuluh ribu sebulan seperti yang dibangkit menjelang sidang bajet DUN Selangor baru-baru ini, tidaklah sesuai bagi pegawai itu sendiri menjelaskannya.

Hal seperti itu lebih pantas dijawab oleh Menteri Besar kerana dia yang menentukan gaji itu. Kalau benda-benda yang PKNS sendiri boleh jawab, tidak perlulah ia dibeban kepada MB menjawabnya.

Apa yang Dr. Aziz Bari itu perkara mudah yang LZS dan Muis boleh jawab sendiri, tidak perlu ia terpaksa dijelaskan oleh orang bergelar. Biarlah orang bergelar bercakap tentang perkara besar yang pihak lain tidak wajar menyampaikannya.

Yang di-Pertuan Agong misalnya bertitah tentang dasar-dasar penting yang Perdana Menteri pun tidak layak menyampaikannya. Pertikaian antara kerajaan dan PKR misalnya tentang tuduhan amalan rasuah oleh kerajaan, orang tidak minta Yang di-Pertuan Agong menjelaskannya. Biarlah Perdana Menteri menyelesaikannya.

LZS dan MUIS atau Jais telah minta orang bergelar menjawab teguran Aziz Bari sedang ia boleh mereka jelaskan sendiri. Mengapa perkara yang ia boleh buat, ia minta pihak yang lebih tinggi menjelaskannya. Jika hal yang rendah dicakapkan olah pihak yang tinggi, nanti yang tinggi dicakap oleh pihak yang tinggi akan disangka rendah.

Adakan Jais atau Muis tidak yakin penjelasannya kepada Aziz Bari akan diterima umum? Itulah andaian yang boleh dibuat, betapa Jais dan LZS seperti hilang keyakinan untuk membuat penjelasan sendiri.

Memang Jais banyak mendapat publisiti. Macam UMNO dan PAS yang fitrahnya berkehendakkan publisiti. Justeru itu Jais terdedah kepada perbualan umum dalam banyak perkara. Lalu ia terdedah kepada berbagai-bagai kritik.

Mungkin sukar bagi Mais atau Jais bagi meyakinkan orang tentang dirinya, maka ia terpaksa mendapatkan payung dari pihak yang menaunginya.

Aziz Bari tidak kebal. Dia boleh dihujah. Mengapa ia tidak ditangani sendiri sedang dalam isu yang Aziz bangkitkan itu boleh diselesaikannya sendiri? Benda yang budak pejabat boleh buat, tak usahlah tunggu ketua pejabat mengerjakannya. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment