My Add

Wednesday 14 December 2011

Bela golongan pendapatan sederhana

NAJIB Tun Razak bersama Mohamad Hasan diiringi (dari kanan) Mohd. Bakke Salleh dan Jamaludin Jarjis melihat model Projek Kediaman Mampu Milik Berkualiti Sime Darby di Bandar Ainsdale, Labu, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd Razak Aid
RASAH, RABU, 14 Disember, 2011:
KERAJAAN kini memberi tumpuan membela nasib golongan berpendapatan sederhana yang kian bertambah di negara ini bagi memastikan kelompok masyarakat itu menikmati kehidupan lebih berkualiti pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, proses urbanisasi yang bergerak pantas di negara ini memerlukan kerajaan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah atau golongan miskin selama ini.

''Hasil daripada perjuangan kerajaan, kumpulan miskin tegar semakin pupus di Malaysia sekali gus menjadikan kita satu-satunya negara yang berjaya melakukannya, manakala bagi kumpulan kemiskinan relatif pula hanya tinggal 3.8 peratus.

''Kini lebih 70 peratus rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar, tetapi ada satu kategori lagi yang kita kurang beri perhatian iaitu golongan yang bukan miskin dan bukan mewah, mereka ini berada di tengah-tengah, kumpulan ini merupakan individu yang makan gaji sekadar mempunyai keperluan untuk menyara diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Kediaman Mampu Milik Berkualiti Sime Darby di Bandar Ainsdale, Labu, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Sime Darby Berhad, Tun Musa Hitam; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hasan; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis, Presiden Sime Darby, Datuk Abd. Wahab Maskan dan Ketua Pengarah Sime Darby Berhad, Datuk Mohd. Bakke Salleh.

Menurut Najib, golongan berkenaan yang semakin besar itu perlu diberi perhatian memandangkan proses urbanisasi di negara ini bergerak dengan pantas dan rancak.

''Bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi bebas ada di kalangan kita akan menjadi golongan yang kaya, mereka tidak mempunyai masalah untuk memiliki rumah banglo dan besar lebih-lebih lagi dengan nilai yang tinggi di kawasan perdana.

''Namun bagi golongan sederhana ini mereka mempunyai rintangan untuk memiliki rumah, tidak mampu untuk membeli rumah yang berkualiti sebab ada kekangan untuk membayar 10 peratus duit pendahuluan rumah," jelasnya.

Justeru Najib menambah, kerajaan telah membuat penambahbaikan dan mengubah suai dasar untuk terus membela nasib golongan miskin malah turut membabitkan golongan sederhana di negara ini.

''Kita bukan sahaja akan tambah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), pada masa sama membangunkan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) bagi golongan sederhana.

''Di bawah projek PR1MA ini, golongan sederhana ini berupaya membeli dan memiliki rumah berkualiti pada harga yang jauh lebih murah termasuk pembiayaan kewangan 100 peratus," ujarnya.

Tegas Najib, apa yang lebih penting inisiatif PR1MA bukan sekadar untuk menyediakan kediaman untuk golongan terbabit, tetapi ia turut meliputi penyediaan persekitaran kehidupan yang berkualiti kepada penduduknya.

''Kita akan sediakan kemudahan yang lengkap di kawasan ini seperti dewan, klinik, kedai dan lebih penting ia diselenggarakan dengan baik," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment