My Add

Tuesday 20 December 2011

Dakwat kekal, undi awal pasukan keselamatan

PUTRAJAYA, SELASA, 20 Disember, 2011: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya untuk menggunakan dakwat kekal ke atas pengundi, selain memperkenalkan undi awal di kalangan anggota pasukan keselamatan.

Mengenai penggunaan dakwat kekal, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pindaan peraturan pilihan raya akan dibuat dan pengundi yang enggan dicalitkan dengan dakwat tersebut tidak akan dibenarkan untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Menurutnya, sebanyak dua jenis dakwat tidak boleh luntur akan digunakan iaitu untuk pengundi biasa dan pengundi awal.

“Dakwat yang mempunyai kandungan argentum nitrat empat peratus akan digunakan untuk pengundi biasa, manakala pengundi awal akan menggunakan dakwat yang mengandungi tujuh peratus argentum nitrat, ini bagi memastikan dakwat itu kekal lebih lama pada kulit dan kuku pengundi awal.

“Dakwat untuk pengundi biasa akan kekal selama tiga hari dan dakwat untuk pengundi awal ialah seminggu. Dakwat ini mengandungi logam yang tidak boleh dicuci, melainkan pengundi itu mencabut kuku dan mengikis kulit mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Atas faktor keselamatan, Abdul Aziz bagaimanapun enggan mendedahkan warna dakwat, bentuk botol, warna kotak dakwat dan dari manakah dakwat kekal itu dibeli.

“Perkara-perkara mengenai dakwat ini hanya akan diketahui sehari sebelum hari mengundi, keputusan ini dibuat bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan seperti yang berlaku pada pilihan raya lalu,” katanya.

Beliau berkata, sampel dakwat tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk uji kaji sebelum diserahkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengesahkan sama ada ia boleh digunakan pengundi Islam serta Kementerian Kesihatan untuk memastikan ia selamat digunakan.

“Penggunaan dakwat kekal juga bermakna SPR tidak akan menggunakan sistem biometrik semasa hari mengundi PRU-13,” katanya.

Mengenai undi awal pula, Abdul Aziz berkata, golongan yang dibenarkan mengundi dua atau tiga hari lebih awal adalah terdiri daripada anggota tentera, pasangan anggota tentera, anggota polis dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am.

Menurutnya, undi awal mungkin dijalankan selama beberapa hari bergantung kepada jumlah pengundi yang ada pada satu-satu kawasan pengundian.

“Kawasan Parlimen Setiawangsa di Kuala Lumpur umpamanya terdapat 10,000 pengundi awal, maka sekurang-kurangnya dua hari perlu diperuntukkan untuk kawasan ini.

“Proses undi awal adalah seperti undi biasa dan peti undi akan ditutup, dikunci dan ditandatangani selepas pukul 5 petang. Peti undi akan dijaga oleh polis dan seorang ejen atau wakil calon juga dibenarkan untuk berkawal bersama polis,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, SPR tidak memansuhkan undi pos tetapi ia ditawarkan sebagai satu opsyen kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas di perbatasan, luar negara dan pegawai SPR yang terpaksa bertugas di luar kawasan mengundinya.

“Mereka yang ingin mengundi secara pos mesti memohon dengan pegawai pengurus pilihan raya,” katanya.

Kalau bubar esok, tak sempatlah  

Abdul Aziz yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersikap munasabah dan mengambil kira keperluan SPR dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

Katanya, pihaknya sedang giat bersiap sedia untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tetapi mengakui SPR mungkin tidak sempat dari segi persiapan sekiranya Parlimen dibubarkan esok.

''Kalau bubar esok tidak sempatlah, sekarang sudah hujung tahun dan ramai yang nak beraya. Perdana Menteri seorang yang munasabah dan beliau mengambil perhatian tentang SPR," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, SPR perlu terus melakukan persiapan untuk pilihan raya kerana masih ramai petugas yang perlu dilatih.

''Dari segi persiapannya, kita telah tentukan apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dibeli.

''Ada (kelengkapan) yang telah dibeli dan ada juga yang belum dibeli, persediaan sedang dibuat," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment