My Add

Thursday 15 December 2011

FELCRA Berhad cadang tubuh Permodalan FELCRA Berhad

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Disember, 2011: FELCRA Bhd bercadang untuk menubuhkan Permodalan FELCRA Bhd, sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpul dana daripada peserta FELCRA dan syarikat FELCRA bagi menjana kekayaan yang lebih, awal tahun depan. 

Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata penubuhan Permodalan FELCRA adalah langkah pertama dalam proses transformasi untuk mengurangkan pergantungan terhadap hasil ladang oleh peserta FELCRA.

Bercakap pada sidang media selepas majlis majlis doa selamat dan kesyukuran sempena penyampaian dividen interim kedua tahun 2011 hari ini, beliau berkata dana tersebut akan dilaburkan untuk mendapatkan keuntungan sebagai punca tambahan dividen kepada peserta FELCRA.

Tajuddin berkata sumbangan kepada dana permodalan berkenaan akan diperoleh daripada peserta FELCRA dan juga FELCRA dengan suntikan awal berjumlah RM10 juta akan disalurkan daripada sumber dana korporat syarikat itu. 

"Dana berkenaan akan diuruskan oleh pihak dan lembaga amanah yang profesional," katanya. 

Beliau berkata Permodalan FELCRA Bhd itu akan ditubuhkan pada awal tahun hadapan selepas mendapat persetujuan daripada peserta FELCRA. 

Mengenai dividen berkenaan, FELCRA mengagihkan sebanyak RM244.48 juta dividen interim kedua kepada 80,000 peserta FELCRA dari seluruh negara. 
"Sehingga bulan Oktober, jumlah pendapatan yang berjaya diperoleh adalah sebanyak RM1.58 bilion dan peningkatan sebanyak 22.8 peratus daripada tahun 2010 adalah satu rekod dalam sejarah FELCRA," katanya. 

Sehubungan dengan peningkatan nilai perolehan syarikat itu, beliau berkata, sasaran perolehan sehingga akhir 2011 adalah sebanyak RM1.88 bilion. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment