My Add

Friday 16 December 2011

Harga hartanah dijangka susut

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 DISEMBER, 2011:
PASARAN hartanah tempatan dijangka kembali sederhana tahun depan dengan harganya dijangka susut sedikit susulan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ekoran krisis hutang zon Eropah dan pertumbuhan ekonomi AS yang lemah.

Presiden Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta Pusaka dan Perunding Harta dalam Sektor Swasta (PEPS) yang baru menamatkan tempoh jawatannya, James Wong, berkata pembetulan harga akan dapat dilihat dalam sektor pejabat, kondominium mewah dan pangsapuri servis di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Harga bagi harta tanah sektor industri dan peruncitan, bagaimanapun, masih stabil,” katanya pada satu taklimat media mengenai Sidang Kemuncak Harta Malaysia kelima 2012 yang akan diadakan pada 17 Januari tahun depan di Pusat Konvensyen Sime Darby. 

Beliau berkata, pembeli berpotensi juga berkurangan kerana bank mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam pemberian pinjaman. 

Wong berkata, kawasan pertumbuhan baru pembangunan harta terletak dalam kawasan sambungan landasan LRT dan laluan MRT Sungai-Buloh dan Kajang. 

Katanya, kawasan lain adalah di bandar kecil seperti Setiawan, Bentong, Segamat, Kota Kinabalu, Batu Pahat dan Sandakan yang penduduknya mempunyai kuasa membeli disebabkan harga komoditi yang melambung seperti harga getah dan minyak sawit mentah. 

“Jualan harta dan harga di kawasan-kawasan ini semakin meningkat,” katanya. 
Juru Ukur Bertauliah, Penilai Pengurus Harta Berdaftar dan Ejen Harta Pusaka, Datuk Mani Usilappan, berkata kewujudan sistem pengangkutan yang baik akan mempengaruhi harga hartanah. 

“Pasaran harta tahun ini baik, dengan unjuran ia mencecah 400,000 transaksi bernilai RM120 bilion tahun ini,” katanya. 

Jawatankuasa Eksekutif dan Ahli PEPS, Foo Gee Jen pula berkata, kos tanah, kos tenaga buruh dan kos bahan yang semakin meningkat akan terus memberi tekanan kepada harga hartanah. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment