My Add

Monday 12 December 2011

Hujahan kes liwat Anwar Ibrahim hari ini

KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Disember, 2011:
SETELAH dua kali ditangguhkan, Mahkamah Tinggi di sini esok dijangka mendengar penggulungan hujah di akhir kes pembelaan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Pihak pembelaan dan pendakwaan diberi tempoh dua hari sehingga Selasa ini untuk membentangkan hujah lisan masing-masing di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Sekiranya kedua-dua pihak selesai melaksanakan tugas tersebut dan tiada isu lain dibangkitkan, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi keputusan kes itu yang telah berlanjutan sejak tiga tahun lalu ekoran pelbagai permohonan dikemukakan oleh pasukan pembelaan.

Penggulungan hujah itu sepatutnya dibuat pada 23 dan 24 November lalu tetapi ditunda kepada 8 dan 9 dan 10 Disember lepas setelah pasukan peguam bela Ketua Pembangkang itu memberi alasan tidak dapat menyiapkan transkrip nota prosiding kes tersebut.

Namun pada 6 Disember lalu, kes itu ditunda lagi kepada 12 dan 13 Disember atas alasan sama sekalipun mendapat bantahan keras daripada pihak pendakwaan.

Pihak pembelaan memberi alasan mereka memerlukan lebih masa terutamanya untuk menyediakan transkrip nota perbicaraan membabitkan dua saksi pakar dari Australia iaitu pakar asid deoksiribonukleik (DNA), Dr. Brian McDonald dan pakar forensik, Dr. David Wells.

Pihak pembelaan pada 17 Oktober lalu menutup kesnya setelah memanggil tujuh saksi termasuk tiga pakar dari luar negara untuk memberi keterangan iaitu lebih tiga tahun selepas Anwar didakwa di mahkamah pada 7 Ogos 2008. - UM

No comments:

Post a Comment