My Add

Friday 9 December 2011

Jadikan Langkawi bertaraf dunia


NAJI mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada majlis pelancaran Blueprint Pelancongan Langkawi, di Langkawi, Kedah, semalam. – BERNAMA


LANGKAWI, JUMAAT, 09 Disember, 2011: 
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Blueprint Pelancongan Langkawi yang melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM5 bilion dalam tempoh lima tahun untuk meletakkan nama pulau peranginan itu sebaris dengan pulau terkemuka dunia.

Menerusi pelan tindakan rangka kerja terperinci itu, kedudukan dan potensi Langkawi diberi nafas baru bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk menjadikan pulau lagenda berkenaan sebagai antara 10 pulau dan destinasi ekopelancongan terbaik dunia menjelang 2015.

Perdana Menteri berkata, pelan induk berkenaan menggariskan 14 inisiatif meliputi tiga tema iaitu produk, infrastruktur dan pembolehdaya yang dijangka merancakkan lagi industri pelancongan di situ dalam tempoh tersebut, lapor MOHD. SHARIZA ABDULLAH

"Pelaksanaan blueprint ini dijangka menggandakan pendapatan sektor pelancongan kepada RM3.8 bilion menerusi kedatangan tiga juta pelancong pada 2015 selain mewujudkan sebanyak 4,200 peluang pekerjaan baru," katanya ketika melancarkan blueprint berkenaan di sebuah hotel di sini semalam.

Hadir sama menyaksikan pelancaran berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Menurut Najib, sebanyak RM5 bilion pelaburan diperlukan dalam tempoh pelaksanaan rangka pembangunan itu dengan 92 peratus pelaburan akan dijana oleh sektor swasta dan bakinya diperuntukan kerajaan sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2012.

Beliau berkata, bagi mengukuhkan kekuatan sedia ada di pulau pelancongan itu, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan dimantapkan dengan suntikan kepakaran baru selain akan bertindak sebagai Pejabat Pengurusan Penyampaian untuk memantau pelaksanaan kesemua inisiatif yang dikenal pasti.

Perdana Menteri yakin aspirasi kerajaan untuk menjadikan Langkawi sebagai pulau terkemuka dunia dapat dicapai menerusi kerjasama dan penglibatkan semua pihak.

"Harapan kita untuk melihat Langkawi menempa nama sebaris dengan pulau-pulau terkemuka seperti Seychellees, Mauritius, Bali, Hawaii dan Maldives menjadi kenyataan jika sokongan padu dan kerjasama erat berterusan antara semua pihak tercapai," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Najib turut mengumumkan pelantikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli, 62, sebagai Pengurus Besar LADA yang baru.

Beliau turut menyaksikan memorandum persefahaman yang dimeterai antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Taylor's University untuk membangunkan akademi pelancongan di pulau peranginan berkenaan.

Selepas melancarkan Blueprint Pelancongan Langkawi itu, Najib kemudian merasmikan tapak projek Kilim dan Pusat Discovery Geopapark di jeti Kilim dekat sini yang merupakan antara inisiatif pelan induk tersebut. - UM 

No comments:

Post a Comment