My Add

Tuesday 6 December 2011

Jangan cuit perasaan Melayu


NAJIB menerima cenderahati daripada Jamaludin Yusof (tiga dari kanan) dan Ramli Norani (tiga dari kiri) selepas majlis sepetang bersama Perdana Menteri pada Perhimpunan Perdana Pekida di Dewan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM, SELASA, 06 Disember, 2011:
DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini memberi amaran kepada semua pihak agar tidak lagi mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mempertikaikan hak dan keistimewaan kaum itu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tegas Perdana Menteri, apa yang termaktub dalam Perlembagaan telah membolehkan kerajaan memerintah dan membina sebuah negara yang adil serta saksama untuk semua kaum, lapor AZIAN AZIZ dan MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDDEN

Beliau berkata, cubaan mempersoalkan dasar untuk membantu orang Melayu dan bumiputera tidak sepatutnya berlaku lagi kerana golongan itu tidak pernah mempersoalkan apa yang diperolehi kaum lain.

"Orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang rasis dan bersikap pelampau kerana sejak merdeka orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dan memberi apa yang (dirasa) adil kepada mereka (bukan Melayu).

"Orang Melayu telah menghulur tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina sebuah negara yang aman, bersatu dan lebih makmur serta mengamalkan wassatiyyah (kesederhanaan) sejak dulu lagi.

"Jadi jangan sesekali cuba mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mengubah apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Apa yang sudah kita rundingkan waktu merdeka dulu, perkara ini akan dipertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Perdana Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida): Sepetang Bersama Perdana Menteri di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Perhimpunan yang dihadiri lebih 10,000 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli Pekida turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Pengerusi Pekida, Jamaludin Yusof dan Timbalannya, Datuk Ramli Norani.

Perdana Menteri turut menyelar cubaan memburuk-burukkan imej dan peribadi pemimpin BN antaranya dengan menghina warna kulit seperti 'hitam metalik' dan sebagainya.

Hakikatnya kata beliau, mereka datang daripada golongan anak nelayan, anak petani yang susah tetapi berusaha keras sehingga berjaya menjadi pemimpin.

"Saya bangga mereka berjaya kerana bersungguh-sungguh mencari ilmu, kerana dasar yang kita perjuangkan selama ini. Inilah sistem yang kita bina selama ini dan selepas ini masa depan ramai lagi anak nelayan, buruh, petani akan lebih berjaya dan kita akan lakukan yang terbaik untuk mereka," katanya.

Menyentuh mengenai perhimpunan tersebut, Perdana Menteri menyifatkannya sebagai satu perhimpunan yang luar biasa, bersejarah serta terbesar bagi Pekida yang semangatnya sama seperti semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan perjuangan Pekida dalam mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam selama ini.

"Pekida adalah sebuah pertubuhan yang tidak pernah malap jauh sekali berkubur sebaliknya tetap menjadi pertubuhan yang ada kekuatan dan tidak dapat kita sangsi dan nafikan dari segi semangat, roh untuk berjuang habis-habisan mempertahankan apa yang difikirkan mulia dan suci.

"Saya yakin Pekida akan terus menegakkan pemerintahan yang mempertahankan maruah dan martabat umat Islam di Tanah Melayu," katanya.

No comments:

Post a Comment