My Add

Friday 9 December 2011

Jangan perkecil kemampuan institusi Islam - Sultan Selangor

 SULTAN Sharafuddin Idris Shah, Abdul Khalid Ibrahim, Dr. Hasan Mohamed Ali (depan, kanan) dan Mohammed Khusrin Munawi (depan, tiga dari kiri) bersama Ahli MAIS 2012-2014 di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM, JUMAAT, 09 Disember, 2011: 
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mahu ada pihak yang memperkecilkan kemampuan institusi Islam di negeri ini terutamanya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam mentadbir dan memajukan ekonomi masyarakat Islam.

Baginda juga tidak memperkenankan mana-mana pihak yang tidak sepatutnya campur tangan dan terlibat dalam urusan agama Islam bagi tujuan kepentingan politik atau peribadi mereka.

''Ini secara tidak langsung akan mengeliru dan meresahkan umat Islam serta menjadikan kepercayaan umat Islam di negeri Selangor terhadap institusi agama Islam di sini berkurangan.

''Beta selaku Ketua Agama Islam di negeri ini tidak rela melihat agama Islam dipermain-mainkan oleh orang lain yang cuba menjatuhkan imej dan nama baik agama Islam," titah baginda pada majlis pelantikan Ahli-ahli MAIS bagi penggal 2012-2014 di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan di sini semalam.

Baginda bertitah, pelantikan ahli-ahli MAIS yang dibuat setiap tiga tahun sekali itu dilakukan secara telus, berhemah dan penuh teliti agar ia terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan mempunyai peranan penting dalam membangun serta memajukan agama Islam di negeri ini.

''Oleh yang demikian, beta berharap ahli-ahli MAIS yang baru dilantik dapat mengekalkan aspek kualiti tersebut agar kemajuan dan pembangunan agama Islam di Selangor bergerak selari dengan kemajuan semasa. Sesungguhnya masyarakat akan memandang mulia dan menjadikan ahli-ahli MAIS sebagai contoh tauladan kepada masyarakat Islam di negeri ini," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, ahli-ahli MAIS adalah terdiri daripada golongan cerdik pandai dan mereka yang mempunyai pengalaman serta kebijaksanaan dalam bidang masing-masing.

''Justeru, beta menyeru ahli-ahli MAIS agar sentiasa memberikan cadangan, pandangan dan idea-idea yang bernas untuk dimanfaatkan dan direalisasikan di Selangor. Setiap idea yang diutarakan hendaklah dianalisis dan diperhalusi agar tidak memberikan kesan negatif kepada masyarakat negeri Selangor yang berbilang kaum," titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada lima muka baru ahli MAIS berkuat kuasa 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2014 selain 15 ahli MAIS sedia ada.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohammad Adzib Mohd. Isa mendahului barisan Ahli MAIS sedia ada menerima pelantikan tersebut diikuti Timbalannya, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali yang juga Exco Hal Ehwal Islam negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datin Zauyah T. Loth Khan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman; Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid dan Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Turut dilantik ialah Ahli Dewan Diraja, Tengku Setia Wangsa Diraja Tengku Setia Ramli Tengku Shahruddin Shah; Ahli Dewan Diraja, Datuk Abdul Halim Abdul Rauf; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Seri Prof. Dr. Zaleha Kamaruddin; Pensyarah Institut Pendidikan UIAM, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba; Pengerusi Eksekutif Akademi Aidit, Datuk Aidit Ghazali; peguam, Datuk Salehuddin Saidin; Pengerusi Sarmid Holdings (M) Sdn. Bhd., Datuk Sarip Hamid dan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri.

Sementara itu, muka baru yang dilantik adalah Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir; Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor, Datuk Ramli Mahmud; Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Madya Datuk Mohd. Mohktar Shafii; Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor (Unisel), Prof. Dr. Mujaini Tarimin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Marzuki Hussin. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment