My Add

Monday 19 December 2011

Kedudukan kewangan Johor kukuh: MB

NUSAJAYA, ISNIN, 19 Disember, 2011: Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa negeri itu akan muflis. 

Katanya, ini kerana kedudukan kewangan kerajaan negeri pada 2010 berada pada tahap baik dengan Kumpulan Wang Disatukan meningkat sebanyak RM274.42 juta atau 118.6 peratus.

Katanya, lonjakan itu menjadikan jumlahnya RM505.1 juta, berbanding RM231.39 juta pada akhir 2009 dan turut mencatatkan lebihan dalam Akaun Hasil disatukan sebanyak RM158.36 juta.

"Ini menjadikan kedudukan defisit terkumpul pada 31 Disember 2010 berkurangan sebanyak 32.7 peratus kepada RM325.69 juta berbanding RM484.05 juta pada 2009," katanya semasa menggulung perbahasan Bajet 2012 Johor, di Dewan Undangan Negeri, di sini. 

Beliau berkata, Penyata Hasil Kerajaan Negeri tahun lalu juga meningkat RM272.75 juta atau 36.3 peratus berbanding pungutan 2009. 

Katanya, tahun lalu, penyata hasil itu mencecah RM1.02 bilion dan adalah pencapaian yang boleh dibanggakan kerana buat pertama kali berjaya mencecah paras melebihi RM1 bilion. 

"Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Negeri Johor 2010, kerajaan negeri sudah diberikan Sijil Bersih dan dengan itu selama sembilan tahun berturut-turut kerajaan negeri berjaya mengekalkan prestasi tersebut.

"Secara keseluruhannya, prestasi kewangan kerajaan bagi 2010 adalah jauh lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya. 

Abdul Ghani berkata, pihaknya turut melaksanakan pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan sejumlah RM1.01 bilion sudah dibelanjakan bagi tempoh lima tahun. 

"Antara 2006 hingga 2010, kerajaan negeri berjaya membina 29 sekolah agama dengan perbelanjaan sebanyak RM49.6 juta dan bersetuju membina 121 sekolah agama dalam tempoh terdekat ini bagi menyelesaikan masalah murid menumpang. 

"Kerajaan negeri turut membina 2,445 km jalan-jalan kampung, dan menaik taraf serta menyelenggara 2,445 km jalan kampung di seluruh negeri dengan kos keseluruhan RM88.39 juta," katanya. 

Abdul Ghani berkata, hutang awam kerajaan negeri turut meningkat sebanyak 8.9 peratus, menjadikannya RM1.38 bilion pada tahun lalu berbanding RM1.27 bilion pada 2009. 

Katanya, peningkatan itu disebabkan peningkatan hutang dalam projek bekalan air iaitu daripada RM1.06 bilion pada 2009, kepada RM1.2 bilion pada 2010. 

Selain itu, katanya, pinjaman Johor Corporation (JCorp) juga mencatatkan peningkatan kepada RM84.04 juta pada 2010 berbanding hanya RM71.05 juta pada tahun sebelumnya. 

"Bagaimanapun, hutang awam bagi projek rumah awam kos rendah mencatatkan penurunan kepada RM54.26 juta pada tahun lalu berbanding RM68.93 juta pada 2009. Lain-lain projek turut mencatatkan penurunan kepada RM33.46 pada 2010 berbanding RM64.44 pada tahun sebelumnya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment