My Add

Saturday 24 December 2011

Khir Toyo rayu hukuman

DR. MOHAMAD Khir Toyo ditemani isteri Zaharah Kechik berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

  

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan
MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

SHAH ALAM, SABTU, 24 Disember, 2011: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo telah mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara setahun bagi kesalahan mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zaharah Kechik dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.

Notis rayuan difailkan oleh peguamnya, M.M. Athimulan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3.30 petang semalam, kira-kira empat jam selepas hukuman penjara itu dijatuhkan oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.

''Ini bukan proses penghakiman terakhir buat saya kerana saya akan merayu mengenai keputusan ini kepada mahkamah yang lebih tinggi,'' katanya semasa ditanya oleh pemberita di luar mahkamah sebaik sahaja prosiding kesnya selesai.

Berhubung masa depan politiknya, Mohamad Khir berkata, beliau akan membuat kenyataan mengenai perkara tersebut selepas 9 Januari tahun depan tetapi enggan mengulas lanjut mengapa tarikh tersebut yang dipilih.

Terdahulu, selain hukuman penjara terhadap Mohamad Khir yang disabit bersalah atas tuduhan itu, Hakim Mohtarudin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) turut mengarahkan hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.

Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dan perintah pelucutan hak itu sehingga rayuan Mohamad Khir selesai didengar serta diputuskan.

Mohamad Khir yang dilihat tunduk sepanjang prosiding ditenangkan oleh Zaharah yang bertindak menggosok-gosok bahu suaminya itu sebaik sahaja sabitan dan hukuman diputuskan.

Hakim Mohtarudin semasa membacakan penghakimannya berkata, beliau berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga intipati dalam pertuduhan itu.

Beliau menerima keterangan Pengarah Ditamas Sdn. Bhd., Datuk Shamsuddin Hayroni yang membeli hartanah untuk dijual semula kepada Mohamad Khir serta tidak pernah bersetuju dengan harga RM3.5 juta sebaliknya menawarkan harga antara RM5 dan RM5.5 juta.

Menurutnya, Shamsuddin turut dibuktikan mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat yang ada kaitan dengan urusan rasmi Mohamad Khir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berdasarkan tiga dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah.

Begitu juga intipati pertuduhan bahawa Mohamad Khir mempunyai pengetahuan bahawa hartanah tersebut dibeli oleh Shamsuddin dengan harga RM6.5 juta pada tahun 2004 berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang konsisten serta menyokong antara satu sama lain.

Hakim Mohtarudin mendapati penjelasan Shamsuddin adalah logik dan boleh diterima bahawa beliau bersetuju menjadi saksi pendakwaan selepas pertuduhan terhadapnya ditarik balik kerana hilang keyakinan terhadap janji tiada pertuduhan terhadapnya oleh Mohamad Khir.

''Apabila kepentingan awam dan kepentingan individu bertembung, kepentingan awam perlu diberi keutamaan. Fakta menunjukkan tertuduh merancang untuk memiliki hartanah itu. Tertuduh telah menyalahgunakan jawatannya sebagai eksekutif tertinggi dalam negeri.

''Dalam kes ini, denda tidak sesuai. Hukuman penjara terhadap seorang yang memegang jawatan eksekutif tertinggi perlu diberi penekanan,'' katanya.

Ketika diberi peluang merayu, Athimulan memohon hukuman ringan iaitu hanya dikenakan denda dengan alasan transaksi dilakukan dengan kerelaan kedua-dua pihak selain ia tidak memberi kemudaratan kepada masyarakat awam.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud pula berhujah balas bahawa hukuman denda terhadap seseorang yang mampu membayar dengan senang hati menyebabkan matlamat hukuman itu tidak tercapai.

Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk dirinya dan Zaharah, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini daripada Ditamas melalui Shamsuddin dengan harga RM3.5 juta.

Sedangkan hartanah tersebut dibeli oleh syarikat terbabit pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Selain Masri, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed dan Mohd. Dusuki Mokhtar sementara Mohamad Khir turut diwakili oleh peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos serta Kamarul Hisham Kamaruddin.

Sementara itu, keadaan di luar mahkamah bertukar sayu di kalangan hampir 50 penyokong Mohamad Khir yang setia menunggu sejak pukul 8 pagi sehingga prosiding itu selesai kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Sebahagian mereka dilihat berpelukan serta ada yang mengalirkan air mata sebagai reaksi kepada keputusan mahkamah. - UM

No comments:

Post a Comment