My Add

Monday 19 December 2011

Kutip sisa pepejal seminggu sekali

PUTRAJAYA, ISNIN, 19 Disember, 2011: Berkuat kuasa September tahun depan, syarikat pengurusan sisa pepejal akan mengehadkan pungutan bahan sisa tersebut kepada seminggu sekali sahaja.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata, langkah itu sebagai pengenalan sebelum kerajaan mewajibkan pengasingan sisa buangan yang dikenal pasti boleh dijadikan sebagai bahan kitar semula dalam masa tiga tahun lagi.

Beliau berkata, sebagai permulaan ia akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum diperluaskan ke bandar-bandar besar lain, lapor SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

"Semua rumah di Semenanjung akan diminta untuk mengasingkan sisa-sisa yang boleh dikitar semula untuk disimpan kerana hanya sehari saja mereka datang kutip manakala dua hari yang lain untuk sisa organik sahaja.

"Oleh itu, syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa tersebut akan menyediakan tong sampah secara percuma kepada setiap rumah.

"Bagaimanapun, kaedah ini tidak dapat dilaksanakan di Pulau Pinang dan Selangor kerana mereka menolak tawaran kerajaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Hari Kitar semula Kebangsaan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan talian bebas tol aduan sisa dan acara larian kitar semula membabitkan penyertaan hampir 4,000 peserta di Laman 1Malaysia, semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya jumlah tapak pelupusan sampah yang masih beroperasi, Chee Eung berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 166 tapak pelupusan tetapi hanya lapan sahaja yang bertaraf sanitari.

"Ini bermakna kebanyakan tapak pelupusan di negara ini berpotensi mencemarkan alam sekitar terutama sumber air dan udara.

"Justeru, kita perlu bertanggungjawab memainkan peranan menangani masalah sisa pepejal dengan mengamalkan 3R iaitu Reduce (mengurang), Reuse (guna semula) dan Recycle (mengitar semula)," katanya.

Sementara itu, Chee Heung berkata, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-7472 (SISA) sekiranya ingin membuat aduan mengenai sampah, longkang dan rumput.

"Talian ini diwujudkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPDPPA) pada 1 September lalu dan digunakan di seluruh Semenanjung kecuali Selangor, Perak dan Pulau Pinang kerana negeri-negeri ini tidak terbabit dengan pelaksanaan Akta 672 (pembersihan sisa pepejal dan pembersihan awam)," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment