My Add

Monday 26 December 2011

Lebih 1,400 mangsa banjir dipindah di Johor

JOHOR BAHARU, ISNIN, 26 Disember, 2011: Mangsa banjir di Johor semakin meningkat apabila hampir 300 orang lagi dipindahkan ke pusat pemindahan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,437 orang pagi ini berbanding 1,143 orang malam tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), setakat 10 pagi ini, kesemua mangsa ditempatkan di 25 pusat pemindahan dengan 12 di Segamat, tujuh di Mersing dan enam di Batu Pahat.

Jalan tanah merah menuju ke Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau Rompin dilaporkan masih terputus hubungan dan hanya boleh dihubungi melalui bot dan pengangkutan udara.

Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua batang sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong mencatatkan aras 3.34 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, 9.47 meter.

Beberapa batang sungai lagi melebihi paras amaran iaitu Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat (17.04 meter), Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (19.92 meter), Sungai Simpang Kiri di Seri Medan, Batu Pahat (2.19 meter), Sungai Senggarang, Batu Pahat (3.28 meter) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat (5.60 meter).

Banjir di Sabah, Sarawak dan Pahang semakin buruk
  
Dari KUCHING dilaporkan, beberapa kampung di kawasan rendah di Samarahan di sini, dilanda banjir bermula malam tadi berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas yang diburukkan dengan fenomena air pasang besar.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri ketika dihubungi, berkata setakat pagi ini, dua kampung iaitu Kampung Asajaya Hulu dan Kampung Serpan Ulu terjejas dengan bencana itu.

"Menurut laporan daripada pihak Pejabat Daerah Samarahan terdapat kira-kira tujuh keluarga telahpun dipindahkan ke pusat penempatan banjir setakat ini,” katanya.

Beberapa jalan kampung di pinggir bandar raya ini juga dilaporkan telah dinaiki air, namun masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan, katanya.

Beliau juga menasihatkan penduduk agar berwaspada memandangkan keadaan hujan yang masih berterusan selain fenomena air pasang besar yang melanda pada sebelah petang.

Sementara itu di SANDAKAN, SABAH - Mangsa banjir di Kampung Gum Gum di sini yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat kepada 351 orang setakat 9 pagi ini berbanding 341 semalam.

Jurucakap Pusat Operasi Banjir Majlis Perbandaran Sandakan berkata 10 mangsa terbaru daripada dua keluarga itu dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran kediaman mereka berada di kawasan hulu sungai.

Hujan sekejap-sekejap serta kadang kala lebat masih berterusan dan pihak berkuasa bimbang paras air sungai meningkat tiba-tiba, katanya.

Semua mangsa banjir yang membabitkan 101 keluarga itu ditempatkan di Dewan Serba guna Gum Gum.

Manakala di PAHANG keadaan banjir di daerah Rompin semakin buruk dengan lebih 300 mangsa lagi dipindahkan malam tadi, menjadikan mereka yang berada di pusat pemindahan meningkat kepada 946 orang setakat 9 pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata sebuah lagi pusat pemindahan dibuka malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada lima buah.

Kesemua mangsa adalah daripada 214 keluarga dari 13 buah kampung, katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Kampung Mentelong dan Kampung Denai yang terputus hubungan darat selepas jalannya dinaiki air tengah hari semalam, kini boleh dilalui semua kenderaan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment