My Add

Friday 9 December 2011

Malaysia mahu pertikaian Laut China Selatan beres cara adil

LANGKAWI, JUMAAT, O9 Disember, 2011:
MALAYSIA menganggap pertelingkahan yang timbul di Laut China Selatan sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan dengan saksama dan adil berdasarkan kepada prinsip perundangan antarabangsa. 

Menurut satu kenyataan Kementerian Pertahanan, Malaysia menganggap persetujuan China dan penyertaan negara itu dalam melaksanakan Deklarasi Tata Pengendalian (DOC) Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan sebagai satu sumbangan penting ke arah penyelesaian pertikaian berkenaan dan ini seharusnya
mewujudkan situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak ASEAN dan China. 

"Kita seharusnya bekerja ke arah memperkukuhkan mekanisme dan kerangka bagi 
penyelesaian masalah secara damai untuk mengelakkan sebarang insiden tidak 
diingini," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu menjelaskan, komitmen China untuk mengendalikan satu bengkel mengenai kebebasan dan keselamatan pengemudian di Haikou minggu depan adalah sebahagian daripada mekanisme bagi melaksanakan DOC.

Kementerian Pertahanan berkata, sejajar dengan perkembangan berkenaan, 
kemungkinannya adalah tidak perlu bagi kuasa di luar rantau ini untuk terbabit 
dalam pertikaian di Laut China Selatan memandangkan ASEAN dan China mempunyai mekanisme tersendiri bagi bersama-sama menangani isu-isu berkenaan. 

Kenyataan itu dikeluarkan pada Persidangan Panglima-Panglima Udara yang 
diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA2011) di sini. 

Tema persidangan itu ialah "Keseimbangan di Laut China Selatan: Perspektif Udara dan Angkasa". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment