My Add

Monday 19 December 2011

Malaysia mampu lahirkan atlet peringkat antarabangsa

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Disember, 2011: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Malaysia mampu melahirkan lebih banyak atlet yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa, malah memupuk satu ekosistem yang dapat sentiasa menghasilkan atlet-atlet berkaliber tinggi.

Perdana Menteri berkata impian itu tidak boleh dicapai tanpa usaha dan dedikasi bersama semua pihak termasuk komitmen daripada kerajaan dan rakyat.

"Saya percaya tidak mustahil sekiranya satu hari nanti Malaysia disebut bersama-sama dengan negara-negara sukan lain kerana kejayaan wira-wira sukannya. Malah saya percaya kita sedang menuju ke arah pencapaian ini.

"Jika kita benar-benar merupakan sebuah negara yang tertumpu kepada sukan, maka tentunya kita dapat membuktikannya, bukan sahaja dengan bersorak untuk pemain kegemaran kita, malah dalam memupuk pemain-pemain yang baru.

"Warisan sukan berkekalan mencerminkan semangat juang, ketabahan dan perpaduan negara kita yang kukuh sudah tentu lebih besar nilainya daripada emas,” katanya dalam entri terbaru dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Najib berkata prestasi cemerlang kontinjen Malaysia di Sukan SEA ke-26 di Indonesia merupakan suatu perkembangan amat positif dan menggalakkan bagi sukan kebangsaan dan juga satu contoh terbaik bagi semangat 1Malaysia.

"Dengan berakhirnya Sukan SEA ke-26 di Palembang (dan Jakarta), saya ingin mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia yang menunjukkan prestasi cemerlang di sana. Sasaran kita sebanyak 45 pingat emas telah berjaya diatasi, malah 59 pingat emas telah di bawa pulang. Syabas!.

"Saya yakin atlet-atlet kita sekarang ini sedang memberikan tumpuan mereka terhadap latihan bagi acara-acara sukan yang akan datang, terutamanya Sukan Olimpik 2012 di London. Setiap pertandingan yang dihadapi merupakan peluang bagi kita untuk mencabar diri kita ke tahap yang tertinggi, dan yang paling penting, untuk membuktikan kepada dunia kemampuan rakyat Malaysia,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment