My Add

Tuesday 6 December 2011

Malaysia-Qatar tubuh dana galak pelaburan, perniagaan

NAJIB Tun Razak sewaktu menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Jassim Jabr Al Thani di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
NAJIB Tun Razak sewaktu menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Jassim Jabr Al Thani di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA, SELASA, 06 Disember, 2011: MALAYSIA dan Qatar semalam bersetuju menubuhkan dana dengan nilai permulaan sebanyak RM6.4 bilion bertujuan menggalakkan peluang-peluang pelaburan dan perniagaan yang bakal membawa manfaat kepada kedua-dua buah negara.

Kesepakatan itu dicapai hasil mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari Qatar, Sheikh Hamad Jassim di Bangunan Perdana Putra di sini.

"Buat permulaan kami bersetuju kedua-dua belah pihak masing-masing menyumbangkan dana RM3.2 bilion. Kami akan berbincang secara lanjut tentang perkara ini termasuk beberapa perkara asas yang dapat membuka peluang pelaburan.

"Langkah ini optimis dan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini pun jumlah dagangan antara Malaysia dan Qatar sudah mencapai RM3.3 bilion atau meningkat 200 peratus," kata Najib.

Terdahulu kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan dua hala.

Sheikh Hamad Jassim yang juga Menteri Luar Qatar tiba di Malaysia hari ini sempena lawatan kerja tiga hari atas jemputan Najib yang melawat Doha 14 Mei lalu.

Najib berkata, Qatar turut mencadangkan agar Malaysia membuka sebuah bilik pameran di Doha kerana ia mampu menarik pelabur untuk melihat produk-produk dari negara ini.

"Saya telah memberi persetujuan kerana dengan adanya bilik pameran itu, potensi untuk penduduk di Qatar dan sekitarnya melihat, mengenali produk dan perkhidmatan yang kita boleh jual sudah pasti akan lebih besar lagi," katanya.

Perdana Menteri menambah, Sheikh Ahmad Jassim turut memberi reaksi positif terhadap permohonan syarikat konglomerat tempatan iaitu Petronas untuk membeli gas dari Qatar dan ia bakal dimuktamadkan nanti.

Mengulas lanjut perkara itu, Najib berkata, terminal gas pesisir pantai di negara ini dijadual siap pada Julai tahun depan dan apabila siap, ia akan memenuhi keperluan untuk mengimport gas asli.

Menurut Perdana Menteri, beliau turut memaklumkan mengenai projek Pembangunan di Iskandar Malaysia yang menyediakan peluang pelaburan yang luas untuk Qatar di mana ia merupakan komitmen Kuala Lumpur untuk menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Najib berkata, mereka turut berbincang mengenai penyertaan Qatar untuk melabur membangunkan kawasan Sungai Besi di mana pelan induknya masih dibuat oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

''Dan apabila siap sahaja pelan induk itu, pelabur dari Qatar akan membangunkan kawasan tanah di Sungai Besi," katanya.

Menyentuh kerjasama politik, kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk memastikan ia menjadi lebih kukuh bukan sahaja secara nyata tetapi juga melalui sistem pentadbiran yang baik dengan mematuhi undang-undang serta hak asasi manusia.

Sementara itu, Sheikh Ahmad Jassim berkata, kerjasama erat kedua-dua negara telah membawa kejayaan.

Najib akan turut serta dalam kunjungan Sheikh Ahmad Jassem ke Langkawi untuk melihat peluang pelaburan Qatar di pulau legenda itu. - UM

No comments:

Post a Comment