My Add

Monday 19 December 2011

MERCY tubuh pusat perwakilan di Indonesia

SITI Khadijah Sahril bersama bayinya, Rizke Wira Tama dari Pantai Cermin Serdang Bedagai menyertai Program KIBBLA di Medan, semalam. - BERNAMA




Daripada FAZRINA AYU RADUIAN

MEDAN. ISNIN, 19 DisSEMBER, 2011: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) akan menubuhkan pusat perwakilan pertama di Jakarta, Indonesia, pertengahan tahun depan dalam usaha meneruskan misi bantuan di negara itu.

Presidennya, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus berkata, ini sejajar dengan hasrat Mercy untuk memberikan bantuan secara berstruktur dan komprehensif setelah 10 tahun menyalurkan bantuan di Indonesia.

Katanya, ia juga bertujuan meneruskan hubungan baik antara dua negara serumpun itu.

"Mercy sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Indonesia untuk membuka cawangan operasi dan menempatkan perwakilan di Jakarta untuk menyelia dan memantau kerja kebajikan yang banyak dijalankan di Sumatera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Program Kesihatan Ibu, Bayi Baru Lahir dan Anak (KIBBLA) dengan Dinas Kesehatan Daerah Sumatera Utara, di sini semalam .

Turut hadir, Konsul Malaysia di Medan, Norlin Othman; Bupati Serdang Berdagai, H.T Erry Nuradi (HE) dan Timbalan Presiden Mercy, Norazam Abu Samah.

MoU itu bertujuan mewujudkan kerjasama menyediakan kepakaran berkaitan penjagaan kesihatan ibu dan bayi yang lebih bersistematik dan moden bagi mengelakkan kadar kematian berisiko ketika lahir.

Indonesia merupakan negara ketiga ASEAN yang mencatatkan kadar kematian tertinggi terutama di daerah Sumatera Barat.

Pada majlis itu Mercy turut menyumbangkan RM240,000 bagi melaksanakan program berkenaan di empat daerah iaitu Medan, Langkat, Asahan dan Serdang Berdagai.

Sebanyak 109,442 wanita hamil dan 99,493 bayi baru lahir bakal mendapat manfaat daripada program yang dijalankan ini.

Ahmad Faizal berkata, penubuhan pejabat perwakilan itu akan membuka ruang lebih besar kepada Mercy meneruskan bantuan kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.

"Kami merasakan sudah tiba masanya untuk meningkatkan keupayaan dan bantuan terutama dalam bidang kesihatan bersifat jangka masa panjang.

"Pembukaan ini juga akan meningkatkan komitmen kami meneruskan hubungan dan bantuan di Indonesia," jelasnya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment