My Add

Wednesday 21 December 2011

Mungkin kecewa tak disenarai – Dr. Rani

SHAH ALAM, RABU, 21 Disember, 2011: Pas Selangor menyifatkan tindakan Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali mengeluarkan kenyataan yang tidak senada dengan kepimpinan parti itu sejak akhir-akhir ini disebabkan kecewa kerana tidak tersenarai sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjayanya, Dr. Abd. Rani Osman berkata, perkara tersebut mungkin merupakan antara penyebab Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu lantang mengkritik dasar Pas yang membabitkan agenda mempertahankan Islam dan perpaduan Melayu sebelum ini.

Beliau menegaskan, sebagai salah seorang ‘pemimpin lama’ dalam Pas, Hasan yang merupakan bekas Pesuruhjaya Pas negeri sepatutnya memahami prosedur serta proses pemilihan calon yang mewakili parti itu dalam pilihan raya yang selama ini tidak pun mengalami sebarang perubahan.

“Sepatutnya, orang lama seperti Hasan dan Nasharuddin Mat Isa (bekas Timbalan Presiden Pas) maklum yang senarai calon diperolehi dari peringkat cawangan kemudiannya ke peringkat kawasan seterusnya ke peringkat negeri dan pusat.

“Senarai calon sebenarnya tidak muktamad dan yang akan menentukan adalah di peringkat Pas pusat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Khalid Abdul Samad.

Tambah Dr. Rani, pihaknya mahu Hasan dan semua pemimpin Pas supaya muhasabah diri kerana tindakan mengkritik serta mempersoalkan keputusan pimpinan parti sebenarnya memberi kesan negatif kepada diri mereka, bukannya Pas parti.

Sementara itu, Khalid ketika mengulas lanjut mengenai isu sama berkata, tindakan Hasan yang lantang mengkritik kepimpinan dan dasar Pas sebelum ini hanya akan merosakkan masa depan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu dalam Pas.

“Janganlah kecewa tidak dicalonkan, tempat lain masih ada. Kalau tidak di Selangor pun mungkin negeri-negeri lain ada...Ini (soal calon) bukan isu besar...Kita harap janganlah merosakkan diri dia (Hasan) sendiri... Kalau dia terus begini dia yang rosak, bukan parti.

“Kalau dia kata Pas negeri ada campur tangan, nak halang kemaraan dia, periksa dulu di kawasan Gombak Setia mungkin ada kesilapan dia, kurang bertemu rakyat atau sibuk sebagai Exco. Dia sepatutnya periksa dulu, cari apa sebabnya jangan main tembak sahaja,” ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment