My Add

Thursday 22 December 2011

Pas kekal perjuangan asal

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 22 Disember, 2011: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, tidak ada sebab kenapa parti itu perlu kembali ke landasan asal perjuangan untuk menubuhkan sebuah negara Islam seperti disarankan Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Beliau menegaskan, ini kerana Pas sejak awal penubuhannya sehingga sekarang masih berpegang kepada perjuangan asal untuk mendirikan sebuah negara Islam.

"Tak benar sama sekali, Pas memang sejak dulu lagi sehingga sekarang masih berpegang teguh kepada perjuangan asal untuk mendirikan negara Islam. Kita masih di landasan asal dan tidak sekali-kali terlajak atau terpesong.

"Kenapa kita perlu kembali ke perjuangan asal. Orang yang kata kita terpesong daripada cita-cita asal adalah orang yang tak faham dengan perjuangan asal Pas," katanya kepada Utusan Malaysiadi sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Hasan yang menolak konsep Negara Berkebajikan diperkenalkan oleh Pas, sebaliknya mahu parti itu kembali kepada perjuangan asal iaitu menubuhkan sebuah negara Islam.

Pendirian Hasan itu jelas kerana matlamat asal penubuhan Pas adalah untuk mendirikan sebuah negara Islam dengan cara memartabatkan agama itu, umatnya serta memperkukuhkan peranan ulama supaya mereka mampu menggarap Islam di dalam pemerintahan.

Harun yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Terengganu menyifatkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu sebagai pandangan peribadi yang cuba mempertahankan dirinya akibat kemelut dalaman parti ketika ini.

Beliau menjelaskan, tindakan Pas bekerjasama dengan rakan parti lain dalam pakatan pembangkang khususnya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk berkaitan konsep Negara Berkebajikan telah disalah tafsir pihak tertentu.

"Kita memang bekerjasama dengan DAP dan PKR, ini biasa dalam politik tapi tidak semestinya kita melupakan matlamat dan cita-cita asal Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam," ujarnya.

Ditanya reaksi kepimpinan tertinggi Pas terhadap teguran Hasan, Harun yakin bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu masih lagi setia kepada parti itu.

"Kita yakin beliau (Hasan) masih setia kepada Pas dan begitu juga dengan kami (pemimpin Pas) masih perlukan dia tetapi akan datang kita tak tahu," katanya.

No comments:

Post a Comment