My Add

Monday 19 December 2011

Penasihat PKR perlu sahut cabaran Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Disember, 2011: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersara daripada politik dengan segera sebelum terus menjadikan rakyat dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai platform untuk melepaskan dendam terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, Penasihat PKR itu seharusnya bertindak gentlemen dengan menentang Dr. Mahathir secara peribadi kerana semua isu yang dicetuskan olehnya merupakan kisah-kisah lama antara beliau dengan bekas Perdana Menteri itu.

''Kalau kita tengok, segala isu yang Anwar cuba mainkan sangat bersifat dendam terhadap Dr. Mahathir, jadi buat apa lagi beliau duduk dalam politik ekoran beliau tidak pernah membangkitkan isu untuk kepentingan rakyat.

''Justeru dalam isu kononnya Dr. Mahathir menulis surat kepada Bank Dunia itu, telah terang dan jelas yang Anwar cuba memainkan isu peribadi. Jadi wajarlah beliau berhenti daripada politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Zahrain mengulas tindakan Dr. Mahathir yang mencabar Anwar memegang al-Quran bagi membuktikan bekas Perdana Menteri itu pernah menulis surat kepada Bank Dunia bagi meminta bantuan semasa krisis kewangan pada 1999 seperti yang didakwa.

Mengulas lanjut, beliau percaya, Anwar tidak akan menyahut cabaran tersebut memandangkan isu itu sememangnya tidak benar dan dakwaan tersebut hanya strategi untuk mengganggu kepercayaan rakyat terhadap Dr. Mahathir dan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, pemerhati politik, Dr. Sivamurugan Pandian menyifatkan tindakan Anwar membuat dakwaan seumpama itu hanyalah untuk mempengaruhi umum dengan berharap orang ramai akan berasa curiga terhadap kepimpinan BN yang dibawa oleh Dr. Mahathir.

Jelas beliau, Anwar yakin tindakannya itu berkemungkinan mengganggu gugat kewibawaan kerajaan BN terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

''Namun saya masih berpendirian jika Anwar seorang pemimpin yang dihormati, beliau harus menerima cabaran Dr. Mahathir, paling tidak menyatakan pendiriannya sendiri,'' katanya.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula berkata, rakyat diminta tidak mudah terpedaya dengan tipu helah Ketua Pembangkang itu lagi kerana dakwaan tersebut hanya untuk menjatuhkan reputasi Dr. Mahathir.

Kata beliau, Anwar sebenarnya sekarang semakin risau apabila melihat rakyat sudah mula nampak kebenaran situasi 1999 itu, iaitu siapa dalang dan siapa yang benar.

''Anwar dari dulu cemburukan Dr.Mahathir, jadi memang kerja beliau nak buat macam-macam isu. Strateginya adalah untuk menjatuhkan musuh nombor satu iaitu Dr. Mahathir.

''Kalau Anwar berjaya menjatuhkan bekas Perdana Menteri itu, beliau sangka akan mendapat tempat semula sebagai orang nombor satu di Malaysia. Tetapi Anwar silap kerana rakyat sekarang sudah semakin bijak," jelasnya. - UM

No comments:

Post a Comment