My Add

Sunday 11 December 2011

Peter Chin presiden baru SUPP

KUCHING, AHAD, 11 Disember, 2011: 
DATUK Seri Peter Chin Fah Kui diumum sebagai presiden baru Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) apabila menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Datuk Seri Wong Soon Koh memboikot proses pemilihan Jawatankuasa Pusat (CC) ke-24 bagi tempoh 2012 hingga 2014 di sini, hari ini. 

Chin, 66, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata, beliau berterima kasih kepada perwakilan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui parti komponen Barisan Basional (BN) kedua terbesar di Sarawak itu.

"Saya gembira dengan pemilihan hari ini dan pastinya selepas ini, tugas saya adalah lebih mencabar untuk memperkuatkan semula SUPP dan saya juga akan turun ke bawah untuk berjumpa pemimpin di akar umbi," katanya kepada pemberita.

Mengulas nasib Wong, beliau berkata ada beberapa jawatan dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang masih kosong dan ia mungkin ditawarkan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak itu dan beberapa lagi pengikutnya, jika mereka mahu menerima. 

Chin berkata, beliau sendiri akan cuba mendekati semula kumpulan Wong yang disertai Anggota Parlimen Lanang, Datuk Tiong Thai King dan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri iaitu Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang), Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar) serta Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) bagi memastikan mereka setia dan kekal dalam SUPP. 

Chin berkata, barisan baru CC yang diumumkan hari ini juga penting dalam meneruskan pelaksanaan pelan tranformasi dalam parti sebagaimana yang digariskan sebelum ini. 

"Apa yang paling penting adalah untuk memastikan SUPP kekal dalam BN untuk memperkuatkan lagi BN di peringkat negeri dan pusat," katanya. 

Dalam pada itu, timbalannya, Datuk Richard Riot, berkata pemilihan beliau merupakan satu penghormatan kepada anggota bukan bumiputera dalam SUPP. 

Beliau berkata, ia adalah sejarah baru kepada parti dan selepas ini, tumpuan akan dilebihkan terhadap usaha membantu presiden memperkukuhkan lagi dalaman SUPP sebelum mempersiapkan parti untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-13. 

"Bagi saya, masalah dalam parti perlu diselesaikan secara dalaman dan memboikot bukan cara terbaik untuk menyelesaikan sebarang masalah," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment