My Add

Tuesday 6 December 2011

Projek luar bandar lepasi sasaran

MOHD. Shafie Apdal (tiga dari kanan) merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Kampung Bambangan Beraong, Limbang, semalam. Turut sama, Ibrahim Mohamad (dua dari kanan).


LIMBANG, SELASA 06 Disember, 2011:.  KEMENTERIAN Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah berjaya melepasi sasaran bagi rancangan pelaksanaan projek pembangunan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam menyediakan Infrastruktur Asas Luar Bandar di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, projek membabitkan pembinaan jalan raya, pembekalan air bersih, kemudahan elektrik dan pembinaan bantuan rumah sempurna dilaksanakan bagi tempoh tahun ini.

Menurutnya, sehingga bulan lalu, KKLW telah membina jalan sepanjang 727.33 kilometer meliputi 254.62 Kilometer km bagi Sabah, 156.36km di Sarawak dan 316.35km lagi di Semenanjung.

"Pembinaan jalan raya itu satu pencapaian memberangsangkan dan melepasi sasaran awal iaitu 663.91km ke arah mencapai sasaran menyiapkan 905.12km jalan di seluruh negara tahun 2011,'' katanya pada Majlis Perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Kampung Bambangan Beraong di sini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Mohamad, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan, Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah dan Ketua Kampung Bambangan Beraong, Terrence Idang.

Mengenai bekalan air luar bandar, kata Shafie, kementerian berjaya menyediakan bekalan air kepada 46,285 rumah di seluruh negara iaitu 13,530 rumah di Sabah, 14,316 di Sarawak dan 18,439 lagi rumah di Semenanjung.

Shafie berkata, kementeriannya juga meletakkan sasaran untuk menyediakan bekalan elektrik kepada 26,882 rumah di seluruh negara dan kini pihkanya telah melengkapkan 21,023 rumah dengan kemudahan itu membabitkan 4,082 rumah di Sabah, 12,054 di Sarawak dan 4,887 rumah lagi di Semenanjung.

"Bagi pembinaan bantuan rumah, kementerian mensasarkan untuk membina 9,146 rumah tahun ini dan setakat bulan lalu, sebanyak 9,885 rumah dibina, melepasi sasaran awal 7,120 rumah,'' katanya sambil menambah jumlah berkenaan melibatkan 4,282 di Semenanjung, 2,865 di Sarawak dan 2,738 rumah di Sabah.

Shafie berkata, pelaksanaan projek NKRA yang dijalankan di seluruh negara kini berjalan lancar hasil kerjasama kementerian dengan kerajaan negeri.

Sementara itu Shafie berkata, RM24 juta diperuntukkan oleh KKLW bagi daerah Limbang untuk projek Bekalan Elektrik Luar Bandar dan RM1 juta diagihkan kepada Kampung Bambangan bagi tujuan menaik taraf jalan kampung sejauh 1km dan RM300,000 lagi untuk bekalan air di kampung berkenaan. - UM

No comments:

Post a Comment